Selasa, 9 Mac 2021

3 buruh didakwa rogol wanita OKU

 N Faizal Ghazali

Malaysiakini

Tiga buruh warga Indonesia didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Bharu hari ini atas dakwaan merogol seorang wanita yang juga orang kelainan upaya (OKU) lembam.

Tertuduh, La Aliudin, 42, La Muluki, 40, dan Mohamad Adam, 26, masing-masing mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan ketika pertuduhan dibacakan dihadapan hakim Ahmad Bazli Bahruddin.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa melakukan perbuatan itu secara berkumpulan dengan merogol mangsa yang berusia 46 tahun di sebuah rumah di Kampung Padang Lengkuas, Melor, sekitar jam dua pagi pada 20 Disember lalu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwaraya Faizuan Sulaiman, manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 375B Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang 10 tahun dan tidak melebihi 30 tahun.

Terdahulu, Faizuan memohon mahkamah tidak menawarkan sebarang jaminan kepada ketiga-tiga tertuduh atas dasar kesalahan yang dilakukan adalah serius.

Mahkamah kemudian menetapkan 6 Mei sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu laporan perubatan dan kimia.

Tiada ulasan: