Ahad, 21 Mac 2021

16 ditahan kes gaduh di pusat beli-belah

Faris Fuad

KUALA LUMPUR: Polis menahan 16 individu berusia 13 hingga 25 tahun, semalam, bagi membantu siasatan kes pergaduhan sekumpulan lelaki di sebuah pusat beli-belah di Jalan Bukit Bintang, di sini, yang tular dalam media sosial.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah, berkata pergaduhan itu dipercayai berpunca daripada perasaan tidak puas hati berikutan seorang rakan dalam kalangan mereka, pengsan dan khayal selepas menghisap rokok elektronik atau 'vape'.

"Hasil ujian saringan air kencing terhadap semua tahanan didapati negatif dadah.

"Mereka direman selama tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan," katanya dalam satu kenyataan, malam ini.

Beliau berkata, orang awam yang ada sebarang maklumat berhubung kejadian itu, boleh menyalurkannya dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi melalui talian 03-2600 2222, Hotline Polis Kuala Lumpur (03-2115 9999) atau di mana-mana balai polis berhampiran.

Zainal sekali gus mengingatkan orang awam tidak mengambil tindakan sendiri, sebaliknya sentiasa mematuhi undang-undang dan menjaga keharmonian supaya masyarakat dapat hidup dalam keadaan aman serta sejahtera.

"Orang ramai juga diminta tidak menularkan video yang boleh mendatangkan kegusaran awam," katanya.

Tiada ulasan: