Ahad, 7 Mac 2021

15 tahun tinggal di pondok usang

Oleh ISWAN SHAFIQ ISA
AHMAD Zakiyuddin Abdul Rahman (dua dari kanan) menyerahkan replika kunci kepada Ahmad Sukri Mohamed Salleh sambil diperhatikan Amran Hazali (kanan) di Permatang Tinggi B, Kepala Batas, Pulau Pinang.

KEPALA BATAS: Selama 15 tahun, Ahmad Sukri Mohamed Salleh, 49, terpaksa ‘memendam rasa’ setiap kali melihat atap rumah yang didudukinya bersama isteri serta tujuh anak bocor dan lantai pula digenangi air ketika hujan lebat.

Selain masalah atap bocor, kayu yang digunakan membina rumah itu usang dan dimakan anai-anai sehingga merungsingkan Ahmad Sukri yang bekerja sebagai peniaga pasar malam.

Malah, boleh dikatakan hampir saban malam sembilan beranak itu tidak dapat tidur lena dalam rumah mereka yang tidak mempunyai bilik itu.

Bagaimanapun, sinar yang dinanti oleh Ahmad Sukri sekeluarga akhirnya menjelma apabila pihak Zakat Pulau Pinang (ZPP) bersetuju membina sebuah rumah baharu berharga lebih RM57,000 untuk keluarga tersebut di tapak lama rumah berkenaan.

“Alhamdulillah, saya sangat terharu dengan sumbangan daripada pihak zakat dan berterima kasih kepada semua yang banyak membantu kami sekeluarga selama ini.

“Saya memang tidak mampu membina rumah seperti ini secara sendirian,” katanya ketika ditemui semasa majlis penyerahan kunci Bantuan Bina Rumah ZPP di Permatang Tinggi B, di sini semalam.

Yang hadir sama pada majlis yang disempurnakan Timbalan Ketua Menteri 1, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pinang Tunggal itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif ZPP, Amran Hazali.

Ketika ini, enam daripada tujuh anak Ahmad Sukri masih bersekolah manakala isterinya, Norhanisah Mad Radzi, 40, adalah suri rumah.

Selain penyerahan kunci rumah, Ahmad Zakiyuddin turut menyerahkan sumbangan khas kepada 18 keluarga di kawasan itu yang terjejas akibat ribut, beberapa hari lalu.

Dalam pada itu, Ahmad Zakiyuddin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Koperasi dan Pemerkasaan Komuniti negeri berkata, rumah yang disumbangkan kepada keluarga Ahmad Sukri itu mengambil masa dua bulan untuk disiapkan.

“Sepanjang tahun lalu, sebanyak 25 buah rumah disiapkan dan diserahkan kepada pemiliknya.

“Untuk tahun ini, ZPP menyasarkan membina dan membaiki sekurang-kurangnya 30 buah rumah lagi dengan peruntukan sebanyak RM5 juta yang disalurkan kepada mereka setiap tahun,” ujar beliau. – UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: