KUALA LUMPUR: Seramai 11.8 juta daripada 32.7 juta rakyat Malaysia, iaitu 36.1%, telah dibanci menerusi Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 (Banci 2020).
Ketua Perangkawan Mohd Uzir Mahidin berkata Banci 2020 kini dijalankan serentak secara dalam talian, atau e-Census, dan bersemuka di seluruh negara.
“Orang ramai boleh memanfaatkan kedua-dua kaedah ini sekarang. Bancian secara bersemuka telah dimulakan pada awal bulan Mac dan akan dijalankan sehingga akhir bulan Jun ini,” kata beliau ketika menjadi tetamu program Ruang Bicara terbitan Bernama TV bertajuk “Banci Dalam Talian Atau Bersemuka, Anda Tentukan”.
Wilayah Persekutuan Putrajaya merekodkan bancian tertinggi iaitu 96.5%, diikuti Johor (53.7%), Perak (51.5%), Perlis (49.8%) dan Melaka (44.4%).
“Negeri lain adalah Kelantan (43.9%), Pulau Pinang (42.6%), Negeri Sembilan (42%), Terengganu (41.8%), Selangor (34.6%), Kedah (33.5%) dan Kuala Lumpur (32.8%),” kata beliau.
Mohd Uzir, yang juga Pesuruhjaya Banci 2020, mendedahkan empat negeri yang mencatat bancian terendah susulan kekangan pada peringkat awal adalah Sabah (14.6%), Labuan (20.5%), Sarawak (22%) dan Pahang (26.6%).
Jabatan Perangkaan Malaysia menjangkakan semua negeri akan mencapai 100% rekod bancian yang dijalankan setiap 10 tahun itu pada Jun.
Seramai 6,500 pembanci yang berpengalaman dan berkemahiran telah digerakkan ke seluruh negara bagi melaksanakan Banci 2020 secara bersemuka.
Setiap pembanci dibekalkan Kad Pengenalan Diri Pembanci dan akan mematuhi prosedur operasi standard Covid-19 yang ditetapkan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan