Jumaat, 1 Januari 2021

Visi Putrajaya 2040 diterima, bukti kepimpinan Malaysia diiktiraf negara anggota APEC

Bernama
Visi Putrajaya 2040 diterima, bukti kepimpinan Malaysia diiktiraf negara anggota APEC
Muhyiddin berkata pada 2021, Malaysia juga ingin memainkan 
peranan yang lebih aktif di pentas global. - Bernama
 
KUALA LUMPUR: Kepimpinan Malaysia di peringkat antarabangsa terus diiktiraf apabila Visi Putrajaya 2040 diterima dan disepakati sebagai visi baharu oleh negara anggota APEC untuk mewujudkan Komuniti Asia Pasifik yang aman, terbuka dan berdaya tahan menjelang 2040, kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
 
Beliau berkata Malaysia berjaya melakar sejarah apabila menganjurkan persidangan Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) secara maya buat julung kali dengan jayanya pada November lepas.
 
"Sesungguhnya, pengiktirafan negara anggota APEC ini merupakan satu penghormatan yang amat besar dan bermakna buat Malaysia.
 
"Momentum ini perlu dikekalkan bagi memastikan Malaysia dapat terus seiring dengan negara-negara lain khususnya di rantau Asia Pasifik dalam menarik pelaburan langsung dari luar negara," katanya semasa menyampaikan perutusan khas sempena tahun baharu 2021 'Bersemangat Melangkah ke Tahun Baharu 2021' yang disiarkan secara langsung malam tadi.
 
Muhyiddin berkata pada 2021, Malaysia juga ingin memainkan peranan yang lebih aktif di pentas global.
 
Beliau berkata pandemik COVID-19 telah sedikit sebanyak merubah 'orde global', justeru membuka peluang untuk Malaysia menonjolkan kepimpinan yang lebih dinamik di peringkat dunia.
 
"Masanya sudah tiba untuk Malaysia muncul sebagai kuasa yang disegani, berani memperjuangkan kemakmuran bersama dan keamanan sejagat secara konsisten," katanya.
 
Beliau berkata selain mempererat hubungan dengan jiran tetangga dalam rantau ASEAN, kerajaan akan terus memperkukuh hubungan diplomatik dan ekonomi dengan negara-negara yang berkongsi aspirasi sama, melalui platform yang sudah sedia ada dan yang bakal dipelopori.
 
Hubungan Malaysia dengan negara-negara luar dari segi diplomasi, keselamatan dan ekonomi akan sentiasa berpaksikan kepentingan strategik untuk jangka panjang, katanya.-- BERNAMA

Tiada ulasan: