Isnin, 18 Januari 2021

Tiga sekawan berdepan hukuman gantung

Oleh ASLIZA MUSA
S. LINGESHWARRAN (dua dari kiri) dan N. Aviiness Sarma (tiga dari kiri) antara tiga lelaki yang dituduh membunuh seorang lelaki hujung bulan lalu ketika dihadapkan di Mahkamah Majistret Ipoh, Perak, hari ini. - UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI

IPOH: Tiga sekawan berdepan hukuman gantung sampai mati atas tuduhan membunuh seorang lelaki di hutan berhampiran kuil di Tanjung Rambutan, dekat sini hujung bulan lalu.

N. Aviiness Sarma, 22; S. Lingeshwarran, 24, dan P. Siva Raman, 33, masing-masing mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan bersama di hadapan Majistret Noor Azreen Liana Mohd. Darus.

Tiada pengakuan direkodkan daripada kesemua tertuduh ketika dihadapkan di Mahkamah Majistret Ipoh, hari ini.

Mengikut pertuduhan, ketiga-tiga lelaki terbabit bersama dua yang masih bebas didakwa sengaja melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian kepada K. Arun, 34, menggunakan parang.

Mereka didakwa melakukan perbuatan tersebut di dalam hutan berhampiran Kuil Sri Maha Muthu Mariamman Ladang Tanjung Rambutan, di sini antara pukul 7.40 hingga 8.45 malam, 31 Disember lalu.

Pendakwaan terhadap mereka dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya, Fatimah Hannah Abd. Wahab mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Ketiga-tiga tertuduh diwakili peguam Syahrul Nizam Mohd. Rabi dan C. Kala Devi.

Mahkamah menetapkan 18 Mac ini bagi sebutan semula kes untuk menunggu laporan kimia dan bedah siasat mangsa.

Utusan Online pada 1 Januari lalu melaporkan, seorang lelaki yang mempunyai 12 rekod lampau ditemukan mati dengan beberapa kesan tetakan di badan di kawasan belukar berhampiran sebuah kuil di Tanjung Rambutan.

Mayat mangsa ditemukan orang awam yang mahu memikat burung di kawasan berkenaan dalam keadaan berlumuran darah dengan pergelangan tangan kanan hampir putus pada pukul 11.30 pagi. – UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: