Ahad, 24 Januari 2021

Thaipusam tiada perarakan, orang ramai jangan resah – Annuar

MGF21112020_ANNUAR-MUSA-7
Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa foto AFIQ HAMBALI

KUALA LUMPUR – Tiada perarakan beramai-ramai dan tidak lebih 10 orang sahaja dibenarkan membawa patung Deva Murugan ke kuil di Batu Caves sempena perayaan Thaipusam.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, Majlis Keselamatan Negara (MKN) juga mengarahkan upacara membawa patung pada Rabu ini perlu diadakan secara ringkas, cepat dan tidak boleh berhenti di mana-mana.

Sebarang proses keagamaan dan muzik juga tidak dibenarkan.

Menurut beliau, masyarakat Hindu juga faham akan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang perlu dipatuhi dalam situasi penularan Covid-19 ketika ini dan mereka tidak meminta sebarang kebenaran untuk mengadakan perarakan.

“Hanya mereka yang terlibat 10 orang tidak boleh ada sebarang festival tidak boleh diikuti ramai-ramai, tidak boleh berhenti dibawa secara ringkas dan cepat dari Kuala Lumpur ke Batu Caves dibawa balik juga dengan cara yang sama tidak ada muzik, himpunan tidak ada perarakan.

“Saya pun faham saya rasa masyarakat beragama Hindu lebih faham mereka pun tidak minta untuk buat perarakan mereka hanya minta keizinan membawa pedati bersama patung ke tempat di mana biasanya sambutan Thaipusam diadakan iaitu di Batu Caves,” katanya ketika hadir di Majlis Penyerahan Tawaran Rumah DBKL untuk Penduduk Setinggan Kwong Tong hari ini.

Annuar juga memberi jaminan agar tidak ada pelanggaran SOP pada hari tersebut kerana penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) juga akan turut hadir membuat pemantauan.

“Sebenarnya bila disebut kebenaran perarakan ramai orang rasa resah, takut dan bimbang ada perarakan, akan ada pelanggaran SOP, mungkin ada kluster Thaipusam dan sebagainya, saya baca maklum balas dalam Twitter saya. Saya faham keresahan orang ramai.

“MKN sangat mengambil berat perkara ini DBKL akan buat penguatkuasaan memastikan sermua syarat MKN dipatuhi,” tambahnya.

Terdahulu Annuar mengakui hantaran ringkasnya menerusi Twitter sebelum ini berkaitan kebenaran membawa patung Deva Murugan ke Batu Caves menimbulkan kekeliruan dan kebimbangan masyarakat.- MalaysiaGazette

Tiada ulasan: