Selasa, 5 Januari 2021

Tentera, polis mula operasi tutup kebun Musang King?

fazleensafina

 

Polis arah SAMKA tinggalkan kebun, beri amaran ambil tindakan

RAUB – Beberapa orang anggota tentera dilaporkan memasuki kawasan Bukit Benom di Sungai Klau iaitu kawasan yang diceroboh bagi penanaman durian Musang King, hari ini.

Bilangan sebenar anggota tentera yang tiba di kawasan tersebut tidak dapat dipastikan, namun menurut Sin Chew Daily jumlahnya lebih kurang 10 orang.

Sin Chew Daily turut melaporkan, anggota tentera telah dihantar oleh Jabatan Hutan menaiki tiga buah kenderaan bagi melakukan perbincangan dengan para pekebun berkaitan operasi penutupan kebun.

Melalui satu rakaman video, seorang anggota polis dengan menggunakan pembesar suara menafikan bahawa mereka melakukan sekatan, sebaliknya hanya membuat rondaan.

Pada masa sama, anggota polis berkenaan mengarahkan para pekebun untuk segera meninggalkan kawasan berkenaan, selain memberi amaran tindakan penguatkuasaan akan dijalankan.

Berang dengan perkara itu, sebahagian pekebun berteriak kepada anggota polis terbabit sambil mempersoalkan sama ada mereka mahu membantu Royal Pahang Durian atau rakyat.

Dalam kejadian sama, Pengerusi SAMKA, Wilson Chang mempersoal tindakan pihak polis selepas nombor pendaftaran kenderaan yang membawa mereka ke dalam kebun ditutup dengan pita pelekat hitam.

Bagaimanapun, pihak polis enggan memberi sebarang penjelasan berhubung perkara tersebut.

Terdahulu, Hakim Datuk Zainal Azman Ab Aziz menolak permohonan kumpulan pekebun haram bagi semakan kehakiman terhadap notis arahan pengosongan tanah dikeluarkan kerajaan negeri.

Menurut Zainal Azam notis pengosongan yang dikeluarkan pentadbir tanah bukanlah satu keputusan atau tindakan yang boleh disemak di mahkamah.

Hakim tersebut juga berkata, sebagai pihak yang menceroboh, pekebun terbabit tidak mempunyai locus standi atau hak di sisi undang-undang untuk memfailkan permohonan semakan kehakiman.

Pekebun terbabit memfailkan permohonan bagi mendapatkan kebenaran menyemak notis pengosongan tanah yang ditanam pokok durian Musang King di sekitar Raub termasuk di Sungai Ruan, Sungai Chalit dan Sungai Klau yang dianggarkan seluas 2,167 hektar.

PAUTAN BERKAITAN:  https://www.sinchew.com.my/content/content_2404932.html

Tiada ulasan: