Sabtu, 23 Januari 2021

Sultan Selangor mahu PBT jadikan Turki model kendali haiwan terbiar

Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Norashikin melahirkan rasa dukacita 
dan terkilan kerana masih ada lagi individu serta pihak tertentu sengaja berlaku kejam 
terhadap haiwan terbiar.

SHAH ALAM: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin menitahkan rakyat khususnya di Selangor agar tidak mengabaikan tanggungjawab melindungi haiwan terbiar khususnya kucing dan anjing dalam tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) ini.

Istana Alam Shah dalam satu hantaran di laman sosial Facebook Selangor Royal Office hari ini menyatakan, baginda berdua melahirkan rasa dukacita dan terkilan kerana masih ada lagi individu serta pihak tertentu sengaja berlaku kejam terhadap haiwan berkenaan dan masih tidak tahu kaedah terbaik untuk melindungi mereka.

“Adalah sangat penting untuk kita semua memiliki sifat belas kasihan terhadap haiwan sebegini dan menjadi tanggungjawab bersama memberi makan serta perlindungan, sama ada ketika dalam peliharaan ataupun apabila berada di dalam habitat sendiri,” menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, baginda berdua kini memelihara beberapa ekor kucing terbiar yang telah dikasi dan diberi perlindungan secukupnya.

Sultan Sharafuddin Idris Shah.

“Ini termasuk ‘Snowy’, seekor kucing terbiar yang pada mulanya datang ke kediaman Sultan Sharafuddin, empat tahun lepas untuk mencari makanan, namun diambil sebagai haiwan angkat atas inisiatif baginda sendiri.

“Snowy kini adalah kucing peliharaan kesayangan Sultan Sharafuddin dan menjadi peneman setia baginda,” menurut hantaran itu.

Selain itu, Tengku Permaisuri Norashikin yang juga Penaung Diraja kepada program Stray Free Selangor (SFS) kendalian Society For The Prevention of Cruelty Animals (SPCA) telah menyelamatkan lebih 100 ekor kucing terbiar dengan kira-kira 30 ekor daripadanya dipelihara oleh baginda sendiri manakala selebihnya sebagai haiwan angkat.

Menurut hantaran itu, sejak Mac 2017 hingga Disember lepas, sejumlah 7,117 ekor kucing dan anjing terbiar telah dikasi bawah program SFS yang diselia oleh SPCA Selangor.

Dalam pada itu, Sultan Sharafuddin menitahkan pihak berkuasa tempatan (PBT) lebih proaktif dan bijak menangani isu haiwan terbiar secara holistik dan bukannya memberi gambaran buruk yang akan menyebabkan haiwan itu dikurung atau dibunuh.

Menerusi hantaran itu, baginda mahu PBT menjadikan Turki sebagai model untuk mengendalikan haiwan terbiar yang tidak berdosa daripada dizalimi.

“Baginda berdua amat berharap agar rakyat dan seluruh komuniti di Selangor khususnya untuk terus menyemai sifat belas kasihan dan sayangkan haiwan-haiwan terbiar ini serta mengambil berat tentang hak serta kebajikan haiwan seumpamanya,” menurut kenyataan itu.

Dalam pada itu, Sultan Sharafuddin dan Tengku Permaisuri Norashikin turut mengingatkan rakyat agar terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) PKP, termasuk memakai pelitup muka dan hanya keluar rumah apabila perlu bagi membendung penularan Covid-19.

Tiada ulasan: