Selasa, 19 Januari 2021

Semakin ramai tampil saring Covid-19

Oleh NOR AZIHAN MD. GHAZALI

SHAH ALAM: Keprihatinan masyarakat mengenai jangkitan Covid-19 semakin baik apabila ramai tampil melakukan ujian saringan secara sukarela.

Pengurus Operasi Klinik Selcare Sdn. Bhd., Mohd. Noor Md. Nasir berkata, Klinik Selcare menganggarkan kira-kira 1,500 individu sudah menjalani saringan  dalam tempoh 10 hari sejak 8 Januari lalu melibatkan 16 cawangan klinik  di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya. 

Menurut beliau, daripada jumlah itu, pihaknya menganggarkan lima daripada 100 individu yang menjalani saringan dikesan positif. 

“Bagi individu yang positif, mereka dirujuk kepada doktor dan akan diberi bimbingan apa yang perlu dilakukan sementara menunggu tindakan susulan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). 

“Setakat ini, kita menerima ramai kontak rapat kepada individu yang positif hadir sukarela membuat saringan dan secara tidak langsung ia mengurangkan beban KKM mengesan kontak rapat,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini. 

Kata beliau, sehingga kini sudah banyak syarikat menghantar pekerja termasuk warga tempatan dan warga asing untuk membuat saringan di Klinik Selcare termasuk individu perseorangan. 

“Harga ujian saringan ialah RM140 bagi Covid-19 Rapid Test Kit (RTK)  dengan keputusan diperoleh dalam masa 45 minit manakala sampel Reverse Transcription Polymerase Chain Reaction (RT-PCR)  RM250 dengan keputusan  diketahui dalam tempoh 24 hingga 48 jam.

“Sekiranya sesebuah syarikat menghantar pekerja dalam jumlah yang ramai, kita akan kurangkan harga agar ia tidak membebankan pihak berkenaan,” ujarnya. 

Sehubungan itu, beliau  mempelawa orang ramai yang ingin membuat saringan hadir ke mana-mana 16 cawangan Klinik Selcare bermula pukul 9 pagi hingga 4 petang. 

Lokasi klinik Selcare ialah di Shah Alam, Puchong dan Putrajaya,  temasuk Selcare Clinic Skypark di Terminal Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (Subang), Sentosa (Klang), USJ Sentral (Subang Jaya), Jaya One dan Desa Mentari (Petaling Jaya).

Lapan lagi klinik di sekitar Kuala Lumpur iaitu The KL Clinic Queen, Rohas Perkasa, Sri Rampai, UBN Tower, Menara Worldwide, Menara Olympia, KLO Station dan Hap Seng 2. – UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: