Selasa, 26 Januari 2021

Selangor lancar laman web bantu rakyat mencari kerja kosong

laman-web-kerja-kosong
Laman web Selangor Kerjaya menawarkan pelbagai maklumat untuk pencari kerja serta majikan mendapat tenaga kerja yang menepati kekosongan jawatan.

KUALA LUMPUR – Kerajaan Selangor telah melancarkan satu laman web khas membantu rakyat di negeri itu yang terkesan akibat Covid-19 bagi mencari pekerjaan.

Menteri Besar, Datuk Amirudin Shari berkata, perkhidmatan Selangor Kerjaya akan menawarkan pelbagai maklumat untuk rakyat yang sedang mencari pekerjaan serta majikan dalam mendapatkan tenaga kerja yang menepati kekosongan jawatan.

“Selain itu, perkhidmatan ini juga berfungsi untuk berinteraksi dengan orang ramai secara terus menerusi media sosial seperti Facebook, Instagram, Linkedin, Twitter dan Whatsapp.

“Perkhidmatan ini adalah percuma dan ditanggung sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri yang melibatkan peruntukan sebanyak RM58 juta untuk membuka peluang pekerjaan kepada warga Selangor,” katanya menerusi Facebook hari ini.

Amiruddin berharap golongan belia khususnya graduan untuk mengambil peluang yang telah disediakan ini untuk membina kerjaya serta memantapkan ekonomi.

“Jangan lepaskan peluang tersedia, teruskan berusaha dan tawakal. Insya-Allah, kejayaan bakal menjadi milik anda,” katanya.

Orang ramai boleh terus ke laman web www.selangorkerjaya.com.my untuk mencari kerja yang telah ditawarkan. -MalaysiaGazette

Tiada ulasan: