Jumaat, 8 Januari 2021

Rumah lereng bukit di TGD berisiko?

Oleh MOHAMAD SHOFI MAT ISA
LOKASI runtuhan dua unit rumah di Taman Gambang Damai di Kuantan, Pahang. UTUSAN/ SHAIKH AHMAD RAZIF SHAIK MUSTAFA

KUANTAN: Hujan renyai-renyai dan kadang-kadang lebat di daerah ini dibimbangi akan menyebabkan terus berlakunya pergerakan tanah sekali gus mendatangkan risiko terhadap rumah khususnya yang dibina di lereng bukit di Taman Gambang Damai (TGD) di sini.

Sumber memberitahu, isu utama yang mendorong runtuhnya dua unit rumah berkembar di taman itu adalah pembinaannya yang dibuat di lereng bukit.

“Risiko agak tinggi terpaksa ditanggung oleh pembeli rumah di lereng bukit dan ia bergantung kepada laporan teknikal menyeluruh sama ada ia dilakukan atau tidak sebelum rumah itu dibina oleh pemaju.

“Pembinaan rumah di kawasan cerun atau lereng bukit ini memerlukan kajian komprehensif sebelum ia dilaksanakan, pembeli rumah berhak mengetahuinya sebelum membeli rumah di kawasan berkenaan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Selasa lalu, dua unit rumah berkembar yang dibina di lereng bukit di TGD runtuh dan musnah 100 peratus dalam kejadian kira-kira pukul 3.23 pagi.

Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa berlaku ekoran musibah itu kerana pemilik rumah telah berpindah awal dan seorang lagi tidak menetap di situ.

Sumber memaklumkan, pergerakan tanah di TGD bukan baharu sebaliknya dikesan telah lama berlaku khususnya di lokasi perumahan di lereng bukit.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Abd. Rahim Muda berkata, sebanyak 66 daripada 99 unit rumah yang berada dalam radius 100 meter kejadian runtuhan dua buah rumah di TGD diletakkan dalam keadaan berwaspada bagi mengelakkan tragedi sama berulang.

Jelasnya, kerajaan negeri akan memanggil pakar cerun dari Cameron Highlands dalam tempoh terdekat untuk memastikan kawasan itu selamat dihuni atau tidak.

“Kita sudah menempatkan seorang pegawai dari Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) untuk memantau dan membuat laporan tentang keadaan tanah.

“Sekiranya masih berlaku pergerakan tanah di sekitar taman ini kita akan melanjutkan pemantauan tahap keselamatan dalam tiga atau empat hari lagi,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: