Saya terkejut mambaca pendedahan tokoh pendidik, Dr Arshad Ayub bahawa kira-kira 2,500 profesor di negara ini tidak mencapai tahap piawaan yang diharapkan.
Dia turut mencadangkan jumlah tenaga profesional dikerah bagi mengajar secara sambilan di universiti-universiti tempatan. Langkah itu perlu untuk menyumbang kepakaran dan pengalaman yang diperoleh dari industri.
Dengan kerjasama antara kumpulan profesional dan profesor akan ada lebih banyak artikel penyelidikan membabitkan idea di luar kotak dihasilkan seterusnya memberi sumbangan besar kepada masyarakat.
Sumbangan golongan profesional termasuk bukan Melayu tidak boleh dipertikai kerana mereka banyak berjasa sebagai pensyarah sambilan pada awal penubuhan Institut Teknologi Mara (ITM) yang kemudian berkembang menjadi Universiti Teknologi Mara (UiTM), iaitu sebuah gedung modal insan bumiputera terunggul di Malaysia.
Begitulah kata Arshad yang membuka pelbagai intepretasi kepada bidang akademik setelah mencapai kemerdekaan 63 tahun lalu. Sekarang kita mempunyai 20 universiti awam dengan naib canselor ke profesor yang terdiri daripada orang Melayu di hampir semua universiti.
Setelah 18 tahun berada di Riyadh dan Dubai dan hampir setahun sebagai karyawan tamu di UniSZA, saya mendapati ada kebenaran kata-kata tokoh itu untuk renungan bersama.
Sebelum itu saya menjadi OKU dua tahun lima bulan lalu setelah mengalami strok. Saya mendapat strok waktu bercuti dan terus tidak kembali ke Dubai untuk meneruskan kerjaya sebagai usahawan setelah terlibat dalam dunia korporat di samping pernah menjadi pengurus besar kepada Cat Stevens atau Yusuf Islam.
Pada Julai 2020 saya menerima pencalonan sebagai profesor ikhtisas di sebuah fakulti universiti tempatan. Pencalonan ini melalui dua proses iaitu peringkat fakulti dan mesyuarat peringkat universiti.
Gelaran profesor kangkung
Saya diberitahu pencalonan saya tidak berjaya. Tidak mengapa, kerana pencalonan itu sendiri sungguh besar ertinya untuk saya yang baru mengambil sarjana walau usia sudah 56 tahun.
Pandangan Arshad yang idea profesional hendaklah sama hebat atau lebih baik daripada buah fikiran Allahyarham Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid yang mencetuskan idea penubuhan Lembaga Tabung Haji.
Kita mempunyai ramai profesional yang terbuka untuk menyampaikan pengalaman dan kepakaran kepada pelajar. Bukan gaji tinggi yang diminta tetapi ruang dan peluang untuk berbakti kepada anak bangsa.
Saban hari saya meminta universiti membuka ruang dan memberi peluang supaya profesional dapat bekerjasama dengan pensyarah. Para profesional yang bergelumang dengan industri tentu lebih faham tentang segala masalah berbanding pensyarah yang hanya mengajar berpandukan buku teks.
Dari Facebook saya mendapati isu ini mendapat sokongan pembaca. Ada orang menggelar pensyarah tertentu sebagai profesor kangkung - iaitu kata-kata pernah diucapkan almarhum Ungku Aziz.
Ramai mengangap gelaran gelaran profesor telah terpesong oleh sebab politik.
Sesetengahnya menulis, secara umumnya ada pensyarah sekadar mengajar mengikut buku teks dan salah tafsir ayat dalam buku berkenaan.
Apatah lagi buku teks itu dalam bahasa Inggeris Amerika yang mereka tidak faham, apalagi tidak pernah mempraktikkan ilmu untuk mengetahui makna sebenar mengikut budaya Amerika.
Pelbagai komen yang diutarakan tanpa ada komen dari pensyarah dan profesor.
Arshad dulu ketika menjadi Pengarah ITM kira-kira 10 tahun tiada ijazah doktor falsafah (PhD) pun. Dia boleh melaksanakan tugas tanpa gelaran profesor pun.
Mahu lebih ramai profesor
Saya adalah pelajar pertama yang mengikuti kursus intensif bahasa Inggeris di ITM selama enam bulan sebelum ke luar negara. Saya masih ingat Arshah bersama kami memperkenalkan diri.
Untuk pengetahuan, semua pensyarah bahasa Inggeris kami bukan Melayu! Dari situ kami mula memahami bahasa Inggeris sebenarnya dan menduduki TOEFL serta ke New Zealand untuk menduduki tingkatan enam dan tujuh.
Boleh dikatakan semua berjaya dengan baik.
Tetapi kebimbangan di UiTM sekarang, 95 peratus pensyarah ialah Melayu berbanding 90 peratus pensyarah dulu yang bukan Melayu.
Sama ada pensyarah mengguna bahasa Melayu atau Inggeris untuk mengajar, tidak pasti. Arshad tetap dengan pendirian menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar walaupun ditekan menteri pendidikan ketika itu.
“Cuba perhatikan perbezaan graduan Melayu yang keluar dari universiti menggunakan bahasa Inggeris dan bahasa Melayu. Mereka dari universiti berbahasa pengantar Melayu tidak mahu bekerja di sektor swasta, suka kerja kerajaan dan mendapat gaji setiap bulan,” katanya.
Itulah juga yang saya perhatikan setelah mengambil sarjana di Universiti Islam Antarabangsa Gombak yang menggunakan bahasa Inggeris sepenuhnya dan UniSZA yang menggunakan bahasa Melayu.
Penggunaan bahasa Inggeris yang lemah membuatkan saya terfikir apakah siswazah kita berkualiti sehingga menjadi pensyarah dan profesor. Mungkin ada, tetapi berapa peratuskah?
Kita mahu lebih ramai pensyarah dan profesor dalam semua bidang termasuk dalam sastera dan budaya. Bidang sastera tentunya orang Melayu seperti pengajian Islam dan memerlukan juga profesional untuk memantapkan lagi pengajian.
Saya tiada komen mengenai profesor di Malaysia selain mengharapkan menteri yang menjaga profesor universiti juga lebih faham status seperti seorang bekas naib canselor memberitahu saya suatu masa di Dubai: “Hampir semua profesor kaki ampu menteri!” - DETIK DAILY
Tiada ulasan:
Catat Ulasan