Selasa, 26 Januari 2021

PKP tidak dilanjutkan tapi diganti PKPB

Oleh PETAH WAZZAN ISKANDAR

PUTRAJAYA: Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidak akan dilanjutkan selepas empat minggu dilaksanakan kerana ia memberi kesan kepada ekonomi tetapi diteruskan dengan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, pihaknya tidak mahu kesan pelaksanaan PKP memberi impak negatif kepada ekonomi negara maka ia perlu diseimbangkan dengan kepentingan kesihatan dan ekonomi.

Katanya, pihaknya yakin dengan pelaksanaan PKPB mampu memberi kesan dengan menurunkan jumlah kes kepada dua angka menjelang Mei ini.

“Pelaksanaan PKP sejak 13 Januari lalu sehingga 4 Februari ini adalah bertujuan untuk menstabilkan jumlah kes positif yang semakin tinggi disusuli PKPB bagi tempoh tiga bulan akan datang.

“Kita jangkakan empat minggu pelaksanaan PKP. Kita tidak akan panjangkan PKP kerana ia memberi kesan kepada ekonomi,” katanya hari ini.

Beliau berkata demikian pada sesi soal jawab sempena Taklimat Media Darurat Covid-19 KKM secara maya oleh Ketua Pengarah Kesihatan di sini hari ini.

Ditanya mengenai keperluan ujian swab di klinik kesihatan awam, Dr. Noor Hisham berkata, individu yang bergejala diberi keutamaan untuk membuat ujian swab di klinik kesihatan awam susulan kes sporadik yang menunjukkan peningkatan mendadak.

“Berdasarkan rekod, sebanyak 50 peratus jangkitan adalah daripada kluster, namun kes sporadik semakin meningkat dan kita mahu ambil langkah berhati-hati,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: