Kuala Lumpur: Penghujung 2020 menyaksikan penampilan khas Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkongsi kemahiran baginda memasak yang disiarkan secara langsung dari dapur Istana Negara, hari ini.
Siaran langsung menerusi laman web www.malaysianchefs.com itu memaparkan cef ternama dari pelbagai negara berkongsi pengalaman dan bertanyakan soalan kepada baginda.
Cef ternama dari Malaysia, Norman Musa yang bersiaran dari Belanda memasak dua hidangan daripada buku resipi baginda iaitu opor burung dan ikan garaman dibantu rakannya, Melissa Feij.
Buku resipi baginda dinamakan Air Tangan Tengku Puan Pahang: Masakan Tradisional Pahang boleh dibeli menerusi pautan CheminahSayang.com.
Kemunculan khas baginda dibawakan oleh Masters of Malaysian Cuisine (MOMC) iaitu sebuah organisasi yang ditubuhkan bertujuan untuk mempromosikan dan menonjolkan cef terkemuka kelahiran Malaysia yang menetap di dalam dan luar negara.
Dalam video 'streaming' itu, Tunku Azizah berkenan menyediakan hidangan barat khas buat Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan anak-anak untuk sambutan tahun baharu malam ini.
"Kamu semua masak resipi saya, saya masak 'dinner' (makan malam) untuk Tuanku dan anak-anak," katanya.
Di permulaan 'streaming' itu juga, baginda teruja dengan jemputan daripada MOMC untuk berkongsi kepakaran memasak.
"Beta juga teruja menyertai program hari ini, kamu semua masak hidangan saya, saya pula akan memasak hidangan barat untuk makan malam," katanya sambil menunjukkan beberapa cef Istana Negara yang akan membantunya.
Baginda menyediakan makaroni bakar, pai shepherd dan pelbagai lagi hidangan istimewa lain.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan