Selasa, 19 Januari 2021

Penduduk Penampang digesa pindah segera jika diarahkan

PENAMPANG: Penduduk sekitar daerah Penampang khususnya tinggal berhampiran sungai atau kawasan rendah dinasihatkan berpindah dengan kadar segera, sekiranya pihak berkuasa meminta berbuat demikian.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim, berkata langkah berkenaan penting untuk memastikan keselamatan penduduk sekitar daerah terbabit.

"Keselamatan penduduk adalah keutamaan. Kita tidak mahu disebabkan keengganan mereka berpindah ke pusat pemindahan yang disediakan kerajaan menyebabkan berlakunya kemalangan jiwa dalam kalangan ahli keluarga.

"Oleh itu, berpindahlah ke pusat pemindahan sementara (PPS) secepat yang boleh jika kita menasihatkan untuk pindah kerana ia bagi menjamin keselamatan penduduk itu sendiri," katanya yang ditemui media ketika tinjauan banjir di PPS Rumah Kelab Kompleks Sukan Penampang, hari ini.

Mohd Haris berkata, pihaknya turut sentiasa mengutamakan pematuhan prosedur operasi standard (SOP), berikutan Sabah kini masih berada di dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) walaupun dilanda banjir.

Katanya, selain itu dikhuatiri selepas banjir yang bersifat sementara itu terdapat mangsa banjir atau petugas yang berada di PPS dijangkiti COVID-19.

Sementara itu, beliau memaklumkan keadaan kebanyakan jalan serta kawasan kampung mahupun perumahan kini sudah beransur pulih.

Beliau berkata, bacaan paras Sungai Moyog juga semakin berkurangan, sekaligus limpahan air yang memasuki pekan Donggongon turut surut sejak kelmarin.

"Pejabat kerajaan dan sekolah turut sudah mula melaksanakan gotong-royong membersihkan premis masing-masing.

Malah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang juga melakukan pembersihan selepas banjir surut," katanya.

Katanya, segala urusan pentadbiran IPD Penampang sedikit terganggu ketika banjir melanda namun sekarang sudah kembali pulih seperti biasa.

Tiada ulasan: