Rabu, 20 Januari 2021

Pembukaan sesi persekolahan 2021 lakar sejarah tersendiri

KUALA LUMPUR: Sesi persekolahan tahun ini melakar sejarah tersendiri apabila hanya calon peperiksaan utama dibenarkan ke sekolah bagi mengikuti proses Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) secara bersemuka.

Bagaimanapun, pelajar Tingkatan Satu hingga Lima serta murid Tahun Satu hingga Enam di seluruh negara pula perlu menjalani kaedah pembelajaran secara PdP di Rumah (PdPR).

Tinjauan BH di beberapa sekolah sekitar Kuala Lumpur dan Selangor, mendapati sekolah menetapkan garis panduan ketat apabila hanya calon peperiksaan utama dan guru sahaja dibenarkan masuk ke sekolah.

Mereka perlu mengimbas aplikasi MySejahtera dan membuat saringan suhu badan disediakan di pintu masuk sekolah sebelum dibenarkan menyertai PdP di kelas masing-masing.

Pergerakan ibu, bapa atau penjaga yang menghantar anak masing-masing pula dihadkan sehingga di luar pagar sekolah sahaja.

Calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St Mary, Salsyabila Mohd Saim, 18, mengakui teruja berpeluang menghadiri sesi PdP bersemuka di sekolah.

Katanya, susunan meja diatur secara 'zig-zag' bagi memastikan penjarakan fizikal antara murid, selain mereka diingatkan supaya mengelak sebarang persentuhan sesama rakan.

"Saya sangat seronok dapat bertemu rakan dan lebih gemar kaedah bersemuka dengan guru kerana lebih faham berbanding secara PdPR.

"Pihak sekolah menetapkan hanya empat subjek diajar setiap hari dengan tempoh sejam setengah diperuntukkan bagi setiap mata pelajaran," katanya ketika ditemui BH, hari ini.

Pandangan berbeza pula diketengahkan calon SPM dari sekolah sama, Nur Azina Azmi, 18, yang mengakui lebih menggemari kaedah PdPR berbanding secara bersemuka.

"Kalau PdPR murid tak perlu hadir ke sekolah, selain boleh mengikuti kelas walaupun belum mandi dan tidak perlu berpakaian seragam," katanya.

Baru-baru ini, Kementerian Pendidikan mengumumkan sesi persekolahan secara bersemuka mulai 20 Januari ini di seluruh negara dihadkan kepada calon peperiksaan utama bagi 2020.

Sehubungan itu, hanya calon SPM, Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2020, perlu ke sekolah bagi mengikuti pembelajaran bersemuka.

Turut tersenarai, calon Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan Diploma Vokasional Malaysia (DVM) 2020 serta peperiksaan antarabangsa setara.

Sementara itu, pelajar Tingkatan Dua, SMK Seri Gombak, Muhammad Ammar Uzair Muzhafar, 14, turut berkongsi kegembiraan dapat memulakan sesi persekolahan walaupun secara PdPR.

"Saya memulakan sesi persekolahan dengan pembelajaran subjek Bahasa Melayu. Cikgu mengajar jenis struktur ayat menerusi topik 'Anda Sihat, Anda Ceria' dalam kelas selama sejam, hari ini.

"Peluang ini digunakan sebaiknya, sama ada untuk bertanya dengan guru atau pun berkomunikasi dengan rakan sekelas yang lain," katanya.

Pelajar Tingkatan Dua, SMK Bukit Jalil, Al-Rayyan Saniboey, 14, juga menyuarakan pandangan hampir sama apabila menjalani PdPR bagi subjek Matematik pada hari pertama pembukaan semula sesi persekolahan, hari ini.

Tiada ulasan: