Isnin, 25 Januari 2021

Peluang sudah ada namun tiada keinginan

 Oleh NADIA HASHIM

ABDUL AZIZ RAHMAN

PETALING JAYA: Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) menggesa wakil rakyat bekerjasama dengan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam mengagihkan bantuan kepada rakyat tanpa memikirkan aspek politik mahupun ideologi.

Presidennya, Tan Sri Abdul Aziz Rahman berkata, pergerakan bantuan yang disampaikan ketika ini dilihat lebih cenderung kepada usaha NGO.

“Sewajarnya wakil rakyat sedar dan ambil peluang untuk bergabung bersama NGO tersebut dalam meneruskan pergerakan bantuan kepada rakyat yang kesusahan ditambah pandemik Covid-19 dan bencana banjir yang agak merisaukan.

“Peluang sudah ada namun tiada keinginan. Sepatutnya peluang sebeginilah perlu direbut dan pedulikan aspek politik mahupun ideologi masing-masing.” katanya ketka dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Mingguan Malaysia semalam melaporkan tentang di mana peranan wakil-wakil rakyat dalam membantu murid dan pelajar terutama berkaitan masalah ketiadaan peranti serta isu capaian internet yang lemah berikutan sesi persekolahan yang baharu bermula melalui kaedah pembelajaran dan pengajaran di rumah (PdPR).

Kedua-dua isu itu bukanlah perkara baharu malah berlanjutan sejak negara mula melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Mac tahun lalu sehingga sekolah dan institusi pengajian tinggi juga terpaksa ditutup.

Kini hal yang sama timbul lagi namun lebih hangat diperkatakan selepas baru-baru ini pendakwah bebas, Ebit Lew memuat naik gambarnya dalam media sosial bersama 100 tablet untuk diberikan kepada murid dan pelajar yang benar-benar memerlukan peranti tersebut untuk mengikuti pembelajaran dalam talian.

Menurut Abdul Aziz, ditambah situasi sekarang yang jelas murid dan pelajar berada di dalam kesulitan demi mendapatkan ilmu, tidak salah jika wakil rakyat bergabung dengan NGO-NGO berkaitan bagi memberikan kemudahan kepada mereka.

“Apabila bergabung pastinya bantuan yang bakal diberikan dapat dipelbagaikan mengikut keperluan semasa sekarang dan bantuan dapat disalurkan dengan lancar.

“NGO lebih kepada golongan sukarelawan dan mengapa para wakil rakyat tidak ambil peluang tersebut,” katanya.

Tambahnya, wakil rakyat berperanan sebagai payung kepada rakyat dalam menyalurkan bantuan namun masih tidak ramai yang memainkan peranan tersebut dengan baik.

“Dari segi elaun mahupun peruntukkan saya rasa amat mencukupi untuk membantu rakyat,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: