KUALA LUMPUR: Mesyuarat Menteri-Menteri Digital ASEAN Yang Pertama (ADGMIN1) dan mesyuarat-mesyuarat berkaitan, dengan Malaysia selaku tuan rumah membuka tirainya di sini, hari ini.
Mesyuarat secara maya selama dua hari itu dipengerusikan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dijadual menyampaikan ucaptama secara maya, sempena perasmiannya pada jam 10 pagi ini.
Acara perasmian akan disiarkan secara langsung menerusi saluran TV1 Radio Televisyen Malaysia (RTM), Bernama TV, Astro AWANI dan Facebook RTM di (https://www.facebook.com/RadioTelevisyenMalaysia) serta YouTube (https://www.youtube.com/channel/UCjUxj4cyy_F0tVCT8WfmdZQ).
Sebelum ADGMIN1, berlangsung Mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan Digital ASEAN (ADGSOM1) selama dua hari, yang dipengerusikan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Datuk Seri Mohammad Mentek.
Bertemakan ASEAN - Komuniti yang Dihubungkan Secara Digital, ADGMIN1 bertujuan untuk mengukuhkan kerjasama antara negara ASEAN ke arah membina ekosistem digital sebagai tonggak dalam pelan pembangunan pasca-COVID-19.
ASEAN yang ditubuhkan pada 1967 adalah sebuah pertubuhan serantau terdiri daripada 10 negara Asia Tenggara - Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam. – BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan