Isnin, 18 Januari 2021

MB Perak arah henti kerja kuari Hutan Simpan Segari

Oleh SAYED HESHAM IDRIS
SAARANI MOHAMAD

IPOH: Kerajaan negeri mengarahkan semua aktiviti kuari di kawasan Hutan Simpan Segari Melintang di Pantai Remis yang memusnahkan ekosistem hutan termasuk Air Terjun Tanjung Batu dihentikan.

Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad berkata, ini bagi menunggu hasil siasatan mengenai kerosakan ekosistem di kawasan tersebut selesai.

Menurutnya, Jabatan Perhutanan dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) juga diarahkan untuk melakukan siasatan menyeluruh berhubung dakwaan berlaku kerosakan di sekitar kawasan  Air Terjun Tanjung Batu yang tular dalam media sosial baru-baru ini.

“Pihak Perbadanan Menteri Besar (MB Inc.) juga diminta menyediakan laporan terperinci mengenai aktiviti kuari yang didakwa menjadi punca kepada kerosakan di kawasan berkenaan.

“Sehubungan itu, kerajaan negeri juga mengarahkan supaya kerja-kerja di kawasan tersebut dihentikan sementara menunggu hasil siasatan mengenainya selesai,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Semalam, Persatuan Aktivis Sahabat Alam (Kuasa) menggesa kerajaan negeri menilai semula projek perlombongan dan kuari di kawasan hutan simpan tersebut yang memusnahkan ekosistem hutan tersebut termasuk Air Terjun Tanjung Batu yang terletak di situ.

Timbalan Pengerusi Kuasa, Ismady Radzuan berkata, projek berkenaan mengakibatkan air terjun tujuh tingkat setinggi kira-kira 300 meter hampir musnah apabila pokok sekitar kawasan itu ditebang dan sisa penebangan termasuk tanah dibiarkan menimbusi lubuknya.

Menurutnya, akibatnya kawasan lubuk air terjun itu yang agak dalam dan berwarna hijau sudah ‘hilang’ ditimbus tanah manakala tujuh tingkat air terjun itu juga seolah-olah sudah tidak wujud mengakibatkan aliran air dari atas bukit terus ke bawah. – UTUSAN

Tiada ulasan: