GUA MUSANG – Masjid Razaleigh yang menyerupai Masjidil Haram Makkah bertempat di Bandar Lama, di sini, bakal dibuka April ini kepada umat Islam untuk menunaikan ibadat.
Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah mengakui pembukaan masjid itu sudah beberapa kali tertangguh sebelum ini berikutan pandemik COVID-19 yang melanda negara ini.
Beliau berkata memang merugikan jemaah jika masjid itu dibuka ketika wabak itu masih belum berakhir memandangkan ruangan jemaah tidak boleh dipenuhi orang ramai susulan perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang penularan COVID-19.
“Tidak ada halangan bagi mereka yang hendak melawat dan melihat lebih dekat masjid itu pada bila-bila masa. Namun kita akan lihat keadaan, sekiranya Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) disambung selepas Mac ini, mungkin pembukaan masjid ini akan ditangguhkan lagi,” katanya kepada media selepas melawat masjid berkenaan, di sini, hari ini.
Jelasnya, pembinaan masjid baharu itu bagi menggantikan masjid lama yang kerap ditenggelami banjir setiap kali musim tengkujuh sehingga mengakibatkan pelbagai kerosakan peralatan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan