Jumaat, 22 Januari 2021

Lega selepas kedai makan dibenarkan beroperasi sehingga 10 malam – Mohd. Shahni

MGF300520_SUMBANGAN-PRIHATIN-RAYA-BERSATU_08

KUALA LUMPUR – Ketua Bahagan Bersatu Bandar Tun Razak, Mohd. Shahni Ismail kini boleh menarik nafas lega selepas kerajaan membenarkan operasi kedai makan dan retsoran sehingga jam 10 malam.

Menurut Mohd Shahni, setiap hari pihaknya menerima aduan mengenai masa operasi kedai makan dan restoran yang dihadkan sehingga jam 8 malam sebelum ini.

“Hampir tiap-tiap hari pusat khidmat serta telefon saya berbunyi meminta tolong supaya dapat menggesa serta merayu kepada kerajaan agar waktu operasi dibenarkan dilanjutkan sehingga 10 atau 12 malam.

“Bukan sahaja rakyat terseksa kerana tidak dapat membeli makanan terutamanya yang bekerja sehingga lewat malam tetapi pemilik kedai juga terseksa dan terbeban malah ada juga yang sudah mula ‘gulung tikar’.

“Keadaan ini sungguh menakutkan, membimbangkan. Macam-macam kita dengar, walaupun banyak sektor telah dibuka supaya memulihkan ekonomi tanpa mengabaikan kesihatan namun pada masa prosedur operasi standard (SOP) ketat membimbangkan,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Semalam, kerajaan membenarkan operasi restoran, kedai makan dilanjutkan sehingga jam 10 malam berbanding 8 malam ketika ini, bermula hari ini.

Bagaimanapun, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata pihaknya masih kekal dengan keputusan pelanggan tidak dibenarkan makan dalam premis, sebaliknya hanya boleh membungkus makanan.

Beliau berkata, perkhidmatan penghantar makanan juga boleh terus beroperasi hingga 10 malam.

Sementara itu, Mohd Shahni meminta semua pihak menumpukan perhatian terhadap usaha kerajaan mengekang wabak Covid-19 dan berhenti berpolitik untuk seketika.

Tambahnya, rakyat akan menanggung kerugian setiap kali ahli politik membuat provokasi.

“Kita perlu bersama-sama berganding selesaikan permasalahan serta derita rakyat, kasihanilah mereka,” katanya. -MalaysiaGazette

Tiada ulasan: