Sabtu, 23 Januari 2021

Lebih 500 pemandu lori kargo jalani ujian saringan COVID-19 di Pusat Pemeriksaan Darat Singapura

Bernama
Lebih 500 pemandu lori kargo jalani ujian saringan COVID-19 di Pusat Pemeriksaan Darat Singapura
ICA telah menjalin kerjasama erat bagi memastikan mereka dapat 
menjalankan operasi ujian saringan itu di Tambak Johor dengan 
gangguan minimum. --fotoBERNAMA
 
SINGAPURA: Lebih 500 pemandu lori kargo menjalani ujian saringan COVID-19 di kedua-dua pusat pemeriksaan darat Singapura semalam yang menyaksikan semua keputusan adalah negatif, kata Pengarah Perkhidmatan Perubatan Kementerian Kesihatan republik itu Profesor Madya Kenneth Mak.
 
Pada Khamis, Singapura mengumumkan bahawa semua pemandu lori kargo dan pengiringnya yang memasuki republik itu diwajibkan menjalani Ujian Rapid Antigen (ART) di pusat pemeriksaan Tuas dan Woodlands, bermula pada 9 pagi semalam.
 
"Kami akan meneruskan proses ini bagi memastikan bahawa kami bertambah baik agar langkah ini tidak menjejaskan perniagaan dan pemandu terbabit yang masih boleh beroperasi tanpa terlalu banyak kelewatan di pusat pemeriksaan.
 
"Jadi perkara ini akan berterusan sehingga beberapa hari lagi dan kami akan berusaha menambah baik kesemua proses," katanya pada sidang akhbar pasukan petugas COVID-19 pelbagai kementerian yang berlangsung secara maya di sini semalam.
 
Mak berkata Pihak Berkuasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan Singapura (ICA) telah menjalin kerjasama erat bagi memastikan bahawa mereka menjalankan operasi ujian saringan itu di Tambak Johor dengan gangguan minimum.
 
"Kami memahami kesan ujian saringan yang dijalankan ke atas operasi pihak imigresen dan kastam yang selama ini berjalan lancar di pusat pemeriksaan terbabit.
 
"Setakat ini, pemerhatian mendapati operasi itu telah berjaya dilakukan dengan lancar," katanya.
 
Semalam, Kementerian Perdagangan dan Industri republik itu (MTI telah mengumumkan bahawa langkah pengawalan baharu di kawasan sempadan itu bertujuan menguruskan risiko kes import COVID-19 yang semakin meningkat.
 
Sehingga tengah hari Jumaat, Singapura mengesahkan satu kes baharu jangkitan tempatan dan 14 kes import yang menjadikan jumlah keseluruhan kes di negara itu setakat ini ialah 59,250.-- BERNAMA\

Tiada ulasan: