Sedih lihat muslim bersekongkol dengan puak liberal hina institusi Islam
BANGI – Setiap kelemahan yang wujud dalam institusi agama Islam sepatutnya dinilai secara objektif berbanding hanya mencerca tanpa sebarang solusi.
Malah, kritikan dengan niat untuk menjatuhkan atau menghapuskan institusi Islam juga sangat keterlaluan, kata Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Datuk Zainul Rijal Abu Bakar.
Beliau berkata, sekiranya wujud kelemahan, kritikan membina dengan solusi yang baik lebih dialu-alukan bagi memastikan institusi Islam dapat berfungsi cemerlang.
“Ironinya, apabila institusi yang tidak berjenama Islam, ramai yang boleh berkompromi dan tidak kurang yang membela atas alasan bukan semuanya tidak baik.
“Persoalannya, kenapakah sikap berbeza itu diambil oleh golongan tersebut? Apakah mereka mempunyai agenda tersendiri?
“Adakah sekiranya suatu institusi yang mempunyai kaitan dengan agama Islam hendaklah dihapuskan dalam apa jua keadaan dan institusi yang tiada nama Islam dikekalkan?,” katanya dalam Sinar Harian hari ini.
Lebih mengecewakan, beliau berkata, bukan hanya golongan minoriti yang mengkritik, bahkan ada juga dalam kalangan kaum majoriti – meskipun bilangannya sedikit.
“Saban hari agama Islam dan institusinya dihina, namun sebahagian besar umat Islam masih alpa.
“Yang lebih menyedihkan apabila ada kalangan umat Islam yang bersekongkol dengan puak liberal dalam menjayakan misi mereka,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan