Rabu, 6 Januari 2021

KJ beri bayangan harga vaksin Covid-19 RM77.35 sen

Oleh ZAREEN HUMAIRAH SEJAHAN
KHAIRY JAMALUDDIN

KUALA LUMPUR: Orang ramai diberikan bayangan harga sebenar vaksin Covid-19 dan harga sebenar adalah lebih rendah seperti yang tular dalam media sosial baru-baru ini.

Dalam sidang akhbar perkembangan perolehan vaksin Covid-19, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin mendedahkan, harga vaksin yang telah dirunding sebelum ini hanya sekitar RM77.00 setiap satu.

“Saya tidak boleh dedah harga sebenar vaksin tersebut tetapi sekiranya kita membuat pengiraan komparatif, untuk Belgium, sebanyak RM 1.38 bilion dibahagikan dengan 16.75 juta jumlah rakyatnya dan jika apa yang didedahkan itu adalah betul maka harga puratanya adalah RM82.40 sen.

“Manakala, harga yang kita berjaya runding adalah RM 2.05 bilion untuk 26.5 juta (83% daripada jumlah populasi rakyat Malaysia) dan harga puratanya adalah RM77.35 sen,” katanya di sini hari ini.

Sebelum ini, tular dakwaan Malaysia perlu membayar harga vaksin Covid-19 kira-kira 20 kali ganda lebih tinggi berbanding yang dibayar kerajaan Belgium.

Menyangkal dakwaan penglibatan ‘orang tengah’ dalam pemerolehan vaksin, Timbalan Menteri Kewangan II Mohd Shahar Abdullah  berkata, bekalan tersebut diperoleh terus daripada syarikat farmaseutikal.

Dalam sidang akhbar  tersebut, Ahli Parlimen Rembau itu turut menjelaskan Malaysia tidak lambat dalam memperoleh bekalan vaksin seperti yang diperkatakan sebelum ini dan sebaliknya memaklumkan pihaknya memantau rapat keberkesanan vaksin Covid-19.

“Saya juga ingin memberitahu semua bahawa kita tidak lambat dalam mendapatkan vaksin ini. Korea Selatan juga dijangka hanya akan mendapat vaksin tersebut dalam suku ketiga tahun ini manakala Australia pula pada bulan Mac.

“Kita juga tidak mahu menjadi negara pertama menerima vaksin tersebut kerana seperti yang kita lihat dalam berita, terdapat beberapa masalah yang melibatkan logistik dan pembaziran disebabkan kegagalan dalam keberkesanan vaksin tersebut,” katanya.  

Peka dengan keadaan semasa, Khairy mahu memastikan tahap pengetahuan dan pemerhatian terhadap vaksin dipertingkat supaya dapat mengelak komplikasi yang lebih besar di kemudian hari.

“Kita harus menilai serta memerhati dahulu dan kemudian apabila kita mula menerima vaksin tersebut pada Febuari akan datang, kita dapat pastikan tahap keberkesanan yang tinggi,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: