KUALA LUMPUR – Kerajaan disaran segera melaksanakan
langkah-langkah untuk mengatasi kenaikan harga barangan terutaman
bekalan makanan mentah.
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan
berkata, kebelakangan ini rakyat semakin terbeban dengan trend kenaikan
harga barangan secara berterusan apabila Perintah Kawalan Pergerakan
dilaksanakan semula.
“Sesuatu mesti segera dilaksanakan untuk mengatasi masalah ini.
“Dasar kecukupan dan keselamatan makanan bukan sekadar
memasti kecukupan bekalan tetapi juga memastikan harga makanan selari
dengan kuasa beli rakyat,” katanya dalam hantaran di laman Facebook hari
ini.
Mohamad yang juga Ahi Dewan Undangan Negeri Rantau
berkata, ramai rakyat Malaysia kehilangan mata pencarian akibat pandemik
Covid-19.
Keadaan itu, katanya, menyebabkan kuasa beli segelintir
rakyat berada pada tahap yang genting, justeru tanpa intervensi
kerajaan, mereka bukan sahaja akan miskin tetapi juga hidup dalam
keadaan lapar serta tidak mempunyai kecukupan makanan.
“Tindakan dan inisiatif pemantauan harga makanan dan bekalan barangan keperluan asas mesti segera dipertingkatkan,” katanya.
Mohamad juga mencadangkan kepada kerajaan supaya menggalak dan menghulurkan bantuan untuk pertanian bandar.
Penduduk Malaysia, terutamanya mereka yang menetap di bandar, katanya, boleh menerima pakai konsep edible garden di kediaman mereka.
“Gunakan tanah lapang di persekitaran rumah untuk menanam sayuran termasuk menanamnya dalam pasu.
“Penanaman sayur-sayuran di rumah mampu mengurangkan kos
sara hidup seharian dan memudahkan akses kepada bekalan sayuran segar
tanpa kebimbangan penyebaran Covid-19 di pasar raya,” katanya.
Bagi golongan rentan, Mohamad mencadangkan supaya segera dipertimbangkan pemberian ‘voucher’ makanan dan barangan runcit.
Katanya, negara maju telah lama melaksanakan intervensi ‘food stamp’ dan ‘voucher’ barangan perlu.
‘Voucher’ sedemikian bukan sahaja dapat meringankan
beban kewangan keluarga yang paling terhimpit, ia juga dapat menjana
pendapatan pemilik dan pengusaha kedai runcit.
“Bantuan tersebut secara langsung juga akan meningkatkan
pengguna agregat dan membantu peniaga kecil, pengusaha pasar raya serta
restoran,” katanya.
Hari ini genap setahun MalaysiaGazette merekodkan kes pertama Covid-19. – MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan