Bernama
Penduduk
di kawasan berhampiran sungai yang belum terjejas dinasihati
agar lebih
bersedia dengan kemungkinan berlaku limpahan air sungai itu
seterusnya
mengakibatkan banjir. - Foto BERNAMA
MARAN:
Banjir di Pahang dijangka berterusan untuk tempoh dua ke tiga hari lagi
terutamanya di kawasan pinggir dan hilir Sungai Pahang susulan trend
air yang dilaporkan mula turun ke kawasan lebih rendah.
Pengerusi
Jawatankuasa Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan
Keluarga negeri Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin berkata pihaknya
menjangkakan lebih banyak mangsa banjir akan dipindahkan ke pusat
pemindahan sementara (PPS) dalam tempoh terdekat.
"Jika
kita perhatikan kawasan di bahagian hulu (sungai) mula surut dan air
menurun ke kawasan hilir pula. Kita jangka dalam dua tiga hari ini,
jumlah mangsa banjir misalnya di kawasan Chenor dan Luit khususnya di
pinggir sungai akan meningkat," katanya kepada Bernama ketika melawat
mangsa banjir di sini pada Jumaat.
Beliau
turut menasihati penduduk di kawasan berhampiran sungai yang belum
terjejas agar lebih bersedia dengan kemungkinan berlaku limpahan air
sungai itu seterusnya mengakibatkan banjir.
Dalam
pada itu, Shahaniza yang juga Ketua UMNO Bahagian Maran berkata banjir
yang melanda daerah itu adalah terburuk berbanding 2014.
"Pekan
Maran kali ini lebih teruk terkesan dan kita risau juga jika keadaan
bertambah buruk dengan keadaan cuaca yang tidak menentu," katanya.
Sehingga petang Jumaat, sebanyak 37 PPS dibuka di daerah itu yang menempatkan 4,192 mangsa banjir.-- BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan