Selasa, 5 Januari 2021

Kapasiti kuarantin hampir maksimum

Oleh PETAH WAZZAN ISKANDAR
NOOR HISHAM ABDULLAH

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan mendedahkan penempatan pesakit Covid-19 di hospital dan pusat kuarantin menghampiri kapasiti maksimum susulan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan mencecah 23,000 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, kes tahap satu dan dua kini hampir mencecah 89 hingga 90 peratus di mana pesakit terbabit ditempatkan di pusat kuarantin. 

Katanya, atas faktor itu juga, berlakunya kelewatan bagi mengambil pesakit dari rumah mereka untuk dibawa ke hospital atau pusat kuarantin. 

“Kita sedang melihat kepada persediaan iaitu kuarantin bagi pesakit tahap satu dan dua di rumah masing-masing. 

“Beberapa kriteria sedang diperkemaskan bagi membolehkan kes positif tahap satu dan dua iaitu tidak bergejala dan bergejala ringan supaya dikuarantin atau diasingkan di rumah dapat dipertimbangkan,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Dalam perkembangan lain, ditanya sama ada tempoh kuarantin dinilai semula susulan wujudnya mutasi baharu, Noor Hisham berkata, tempoh 10 hari yang dipendekkan daripada 14 hari sebelum ini masih diguna pakai. 

“Kebanyakan negara di dunia mengguna pakai kaedah ini dengan mengurangkan tempoh dari 14 kepada 10 hari. Ada negara, tujuh hari kuarantin tetapi risiko lebih tinggi.

“Kita lihat kebanyakan kes positif dikesan pada hari ketiga hingga hari kelima malah selepas 10 hari kebolehjangkitan virus itu berkurangan atau sudah tiada berdasarkan data Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO),” katanya.

Beliau berkata, jika lihat perkembangan kes dari hari pertama virus Covid-19, banyak yang tidak diketahui.

“Maka, sebelum dibenarkan keluar, saringan kali kedua dilakukan dan sekiranya negatif, baru dibenarkan keluar.

“Bagaimanapun, ada juga selepas saringan kedua dibuat, didapati positif tetapi ia tidak berjangkit kerana peluruhan virus. Apa yang penting sekarang ini, kebolehjangkitan itu sama ada boleh dikawal atau sebaliknya,” katanya. – UTUSAN

Tiada ulasan: