Khamis, 21 Januari 2021

Kaligrafi Cina pertemukan Cheng dan Azizah

BERNAMA

CHENG memberi tunjuk ajar kepada Azizah seni menulis kaligrafi Cina di atas tanglung. FOTO Bernama

Kulai: Ketibaan Tahun Baharu Cina tidak lama lagi turut membuka pintu rezeki berganda bagi Cheng Ho Chung, 83, seorang mahaguru kaligrafi Cina di sini.

Manakan tidak, setiap kali perayaan berkenaan, warga emas itu tidak putus-putus menerima tempahan kaligrafi Cina daripada masyarakat setempat untuk mewarnai sambutan itu dengan tulisan berkenaan yang membawa bermaksud kemakmuran, kesihatan dan kekayaan.

Tetapi kali ini, yang lebih menarik, Cheng tidak bersendirian dalam menyiapkan tempahan itu yang kadangkala mencecah hingga ratusan unit kerana dia dibantu oleh sahabat baharunya, Azizah Mokhsan, 38.

Cheng berkata dia mengenali Azizah dua tahun yang lalu apabila wanita berkenaan mula bekerja di kedai menjual penyaman udara, bersebelahan dengan tapak perniagaannya di Jalan Raya, Kulai Besar.

"Pada mulanya, dia (Azizah) hanya sekadar melihat saya menulis kaligrafi ini di atas kertas dan tanglung.

"Tetapi (lama-kelamaan) saya menyedari dia mempunyai minat terhadap seni ini lalu saya bertanyakan adakah dia berminat untuk mempelajari seni ini dengan saya," kata Cheng ketika mengimbas detik permulaannya menjadi guru kaligrafi kepada wanita terbabit kepada pemberita di sini.

CHENG  menghasilkan tulisan kaligrafi Cina dengan pelbagai maksud antaranya kemakmuran, kesihatan dan kekayaan. FOTO Bernama
CHENG menghasilkan tulisan kaligrafi Cina dengan pelbagai 
maksud antaranya kemakmuran, kesihatan dan kekayaan. 
FOTO Bernama

Menurutnya, dia mengambil tempoh yang agak lama untuk membiasakan Azizah dengan teknik asas penulisan kaligrafi Cina kerana wanita itu tiada sebarang pengetahuan terhadap Bahasa Mandarin dan tulisannya.

"Saya ajar dia bermula dengan cara memegang berus dengan betul sehinggalah ke cara menulis kaligrafi dengan baik namun lama-kelamaan dia semakin mahir," kata Cheng yang telah berniaga tulisan kaligrafi sejak tahun 1983 malah juga pernah mengajar seni itu di beberapa sekolah di Johor dari tahun 1988 hingga 2001.

Sementara itu, Azizah berkata ramai pelanggan Cheng terkejut apabila mengetahui terdapat seorang wanita Melayu berminat mempelajari seni kaligrafi Cina.

"Ada juga yang berasa kagum kerana tidak ramai generasi muda mahu meneruskan warisan ini. Malah dalam kalangan ahli keluarga Cheng sendiri, hanya seorang daripada tiga anaknya yang mengikut jejak ayahnya mempraktik dan mengajar seni kaligrafi Cina," kata wanita yang berasal dari Kampung Bachang, Melaka itu.

Azizah berkata disebabkan minat yang mendalam terhadap seni tulisan itu juga, dia tergerak hati untuk mengikuti kelas pembelajaran Bahasa Mandarin bagi mengukuhkan keupayaan dan pemahamannya terhadap seni berkenaan.

"Sejak belajar dengan Cheng, saya sudah menguasai beberapa patah perkataan bahasa Mandarin namun tidak sepenuhnya.

"Disebabkan itu, saya sanggup mengikuti kelas Bahasa Mandarin bagi memperluaskan pemahaman saya," katanya yang mengakui seni tulisan ini mementingkan banyak faktor antaranya kualiti berus dan cara mengalunkan pergerakan pergelangan tangan bagi mendapatkan bentuk kaligrafi yang terbaik.

Tiada ulasan: