Khamis, 21 Januari 2021

Jangan rampas punca rezeki kami, kata nelayan Langkawi kepada MB

GEORGE TOWN: Rancangan kerajaan Kedah untuk menebus guna sebuah pulau seluas 2,000 ekar di perairan Langkawi akan menjejaskan alam sekitar dalam jangka panjang, kata aktivis nelayan yang mendesak kerajaan menghentikan projek itu.

Setiausaha Persatuan Pendidikan dan Kebajikan Jaringan Nelayan Pantai Malaysia Azrilnizam Omar berkata, kehidupan nelayan pesisir pantai akan terjejas teruk, kerana proses penambakan itu akan turut merampas kawasan yang kaya dengan hasil laut.

Dalam kenyataan, beliau turut mempersoalkan projek “mewah” yang akan bermula di perairan Padang Mat Sirat, dengan mengatakan ia terlalu mahal untuk dimanfaatkan penduduk tempatan.

“Ketika Covid-19 sedang menular dan PKP (perintah kawalan pergerakan) dilaksanakan, adalah tidak rasional bagi kerajaan negeri Kedah dan Pulau Pinang melaksanakan sebarang projek yang boleh memusnahkan ekosistem pesisir dan menjejaskan periuk nasi nelayan tempatan,” kata Azrilnizam.

Beliau turut menempelak kerajaan Pulau Pinang kerana merancang untuk menambak lebih banyak tanah sehingga menjejaskan punca rezeki nelayan, serta menawarkan pampasan yang tidak adil.

Baru-baru ini, nelayan di selatan Pulau Pinang yang terjejas oleh projek tiga pulau tersebut menyelar pampasan sebanyak RM20,000 ditawarkan oleh negeri ini.

“Pampasan yang ditawarkan tidak sama dengan kehidupan laut yang akan musnah selepas ketiga-tiga pulau buatan itu dibangunkan. Kami menentang pembangunan pulau-pulau buatan ini.

“Kami menyeru nelayan di Pulau Pinang tidak menerima pampasan dari negeri ini kerana kehilangan sumber perikanan dan periuk nasi mereka tidak dapat diukur dengan wang ringgit,” katanya.

Semalam, Kedah mengumumkan rancangan menebus guna tanah seluas 1,900 ekar berhampiran lapangan terbang Langkawi, yang dijangka mempunyai nilai pembangunan kasar RM40 bilion. Ia akan dilaksanakan oleh syarikat swasta dari Kuala Lumpur dalam masa 15 hingga 20 tahun.

Di Pulau Pinang, projek tiga pulau atau Pulau Selatan Pulau Pinang diperuntukkan untuk membiayai rancangan induk pengangkutan bernilai RM46 bilion. Projek ini masih belum selesai sementara menunggu rancangan pengurusan alam sekitar bawah Jabatan Alam Sekitar.

Tiada ulasan: