Isnin, 25 Januari 2021

Hampir seluruh Terengganu kini zon merah

Oleh ROSALINDA MD. SAID
INFOGRAFIK tujuh daripada lapan daerah di Terengganu kini dikategorikan zon merah.

KUALA TERENGGANU: Tujuh daerah di Terengganu diisytiharkan sebagai zon merah hari ini susulan peningkatan mendadak kes Covid-19 termasuk di beberapa daerah yang sebelum ini dianggap selamat.

Berdasarkan infografik terkini Jabatan Kesihatan negeri, tiada lagi zon hijau di Terengganu dengan Kemaman menjadi satu-satunya daerah yang masih kuning menerusi 19 kes yang direkodkan.

Tujuh daerah yang merah ialah Kuala Terengganu dengan keseluruhan 298 kes, Besut (103 kes), Dungun (100 kes), Kuala Nerus (97 kes), Setiu (63 kes), Hulu Terengganu (50 kes), Marang (42 kes).

Perkembangan tersebut menjadikan jumlah pesakit Covid-19 yang dirawat di negeri ini meningkat kepada 714 kes.

Dalam perkembangan sama, jumlah kes harian Covid-19 di negeri ini terus mencatatkan tiga angka iaitu yang tertinggi pernah direkodkan dengan sebanyak 179 kes.

Daripada jumlah itu, sebanyak 136 kes merupakan penularan tempatan.

Sehubungan itu, orang ramai diminta sentiasa berjaga-jaga bagi mengelakkan jangkitan di samping mengambil langkah waspada untuk menghentikan penularan tempatan termasuk kekal berada di rumah dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan. – UTUSAN 0NLINE

Tiada ulasan: