Bernama
Abdul
Aziz berkata, saat paling mencabar adalah ketika proses perjalanan
ke
PPS kerana mereka perlu menaiki bot bomba, kemudian berjalan
kira-kira
500m, menaiki sebuah lagi bot bomba dan akhirnya menaiki
trak ke PPS.
--fotoBERNAMA
KLUANG:
Empat beranak terpaksa mengalas perut dengan sekadar makan roti dan mi
siput selepas terkandas 11 jam dalam kereta apabila laluan di Batu 17
dan 18, Jalan Kluang-Mersing, Kahang, dekat sini, ditenggelami air.
Abdul
Aziz Jemain, 30, berkata dia dan isterinya, Khairiyatul Asma' Kamat,
30, dua anaknya berumur antara lapan bulan dan dua tahun sedang dalam
perjalanan pulang daripada bercuti ke Bukit Pasir, Muar ketika terkandas
di dalam kereta pada kira-kira 3 petang Sabtu sebelum diselamatkan pada
2 pagi Ahad.
"Kami
tidak sangka laluan tersebut ditenggelami air (banjir). Mujurlah saya
sempat membeli roti di Pekan Kahang dan kebetulan mempunyai kira-kira 30
balang stok mi siput untuk dijual di dalam kereta yang menjadi pengalas
perut kami empat beranak.
"Pada mulanya
kami dapat melepasi laluan di Batu 18 tetapi kemudiannya gagal melepasi
Batu 17. Saya cuba berpatah balik ke Batu 18, tetapi kawasan itu pula
sudah dinaiki air yang menyebabkan kami terkandas," katanya ketika
ditemui pemberita di pusat pemindahan sementara di Sekolah Menengah
Kebangsaan (SMK) Seri Sembrong, di sini.
Abdul
Aziz yang merupakan guru di SMK Bukit Pasir, Muar berkata selain mereka
sekeluarga, kira-kira 15 kenderaan melibatkan antara 30 dan 40 orang
turut sama-sama terkandas di laluan tersebut.
Mengulas
lanjut, Abdul Aziz yang menerima lawatan Menteri Luar merangkap Ahli
Parlimen Sembrong Datuk Seri Hishammuddin Hussein di pusat pemindahan
itu berkata sepanjang 11 jam berkenaan, dia amat risau kerana keadaan
air yang semakin meningkat selain cuaca gelap.
"Saat
paling mencabar pula adalah ketika proses perjalanan ke pusat
pemindahan. Kami perlu menaiki sebuah bot bomba, kemudian berjalan
kira-kira 500 meter dan seterusnya menaiki sebuah lagi bot bomba sebelum
dapat menaiki trak ke pusat pemindahan ini.
"Mujurlah
ketika terkandas dan dalam perjalanan itu, anak-anak tidak meragam,"
katanya yang mempunyai bekalan susu dan lampai pakai buang mencukupi.-- BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan