Ahad, 3 Januari 2021

Cuepacs: Saiz penjawat awam tak boleh dikurang

Oleh ZAREEN HUMAIRAH SEJAHAN
ADNAN MAT

KUALA LUMPUR: Jumlah penjawat awam  di negara ini tidak boleh  dikecilkan lagi  kerana bilangan tersebut tidak terlalu besar dan jika dikurangkan ia dikhuatiri mengganggu operasi harian untuk memberi khidmat kepada rakyat.

Sebaliknya, Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Adnan Mat berkata, ada beberapa sektor mengalami kekukarangan penjawat awam.

“Malaysia ada  kira-kira 1.6 juta penjawat awam. Angka itu sempurna idea dan tidak terlalu besar kerana ia  turut membabitkan sektor pendidikan, pasukan keselamatan dan tenaga kerja kesihatan yang negara lain tidak ambil kira sebagai kakitangan awam .

“Bahkan jika kita lihat jumlah penjawat awam dalam beberapa sektor masih lagi tidak mencukupi. Jika ditolak dengan ketiga-tiga sektor tersebut, penjawat awam di Malaysia hanya kira-kira 600,000 kakitangan sahaja,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, bekas pegawai tertinggi kerajaan, Datuk Dr Fauziah Mohd Taib mendakwa perkhidmatan awam di negara ini  mampu beroperasi walaupun pada kapasiti 30 peratus.

Fauziah berkata demikian melalui kenyataannya bertajuk ‘Is it time to Trim The Civil Service’ atau sudah tiba masanya untuk mengurangkan jumlah penjawat awam.

Menyangkal kenyataan itu, Adnan berkata, perkhidmatan awam sebenarnya beroperasi 100 peratus sama ada di lapangan, di pejabat atau bekerja dari rumah. 

Jumlah 30 peratus itu hanyalah mewakili kakitangan yang bertugas di pejabat dan ia melibatkan beberapa negeri sahaja.- UTUSAN

Tiada ulasan: