Rabu, 20 Januari 2021

COVID-19: Kerajaan perlu campur tangan, kawal selia kos ujian saringan

Harits Asyraf Hasnan
COVID-19: Kerajaan perlu campur tangan, kawal selia kos ujian saringan
Satu mekanisme penetapan harga perlu dibuat lantaran ujian tersebut 
dilihat sebagai satu keperluan pada ketika ini. - Foto BERNAMA
 
KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta campur tangan untuk mengawal selia kos ujian swab COVID-19 yang dilihat masih berada pada kadar yang tinggi.
 
Pakar Kesihatan Awam, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Malina Osman berkata, satu mekanisme penetapan harga perlu dibuat lantaran ujian tersebut dilihat sebagai satu keperluan pada ketika ini.
 
"Saya bagi contoh, macam kos saringan daripada tahun lepas hingga sekarang, jika kita bandingkan dalam tempoh 10 bulan, tidak banyak berkurangan dalam tempoh tersebut.
 
"Masih lagi dalam julat tiga digit iaitu antara RM100 ke RM300.
 
"Dalam keadaan sekarang ini, apabila jangkitan sudah meningkat dalam komuniti, wajar kos tersebut dikurangkan dan dimanfaatkan oleh lebih ramai individu," katanya ketika ditemu bual Astro AWANI hari ini.
 
Jelasnya, sekiranya kos saringan dapat dikurangkan, banyak manfaat akan diperoleh termasuk mengurangkan beban proses pengesanan kontak yang perlu dilakukan pihak Kementerian Kesihatan (KKM).
 
"Apabila murah, di kalangan keluarga yang dekat ataupun kontak rapat, mereka dapat tampil ke hadapan untuk membuat saringan secara sendiri dan seterusnya mengambil tindakan lebih awal.
 
"Ia jauh lebih baik daripada menunggu barisan hadapan untuk hadir atau memberi cadangan-cadangan dan arahan yang berkenaan.
 
"Kita tahu bahawa apabila kes bertambah, pengesanan kontak di lapangan juga bertambah. Jadi dengan penurunan harga ujian saringan ini kita akan manfaat untuk kurangkan beban dan merawat individu di peringkat lebih awal," tegasnya.
 
Sebelum ini, beberapa pihak termasuk badan bukan kerajaan menggesa supaya kos ujian saringan COVID-19 sama ada melalui RTK-Antigen atau RT-PCR perlu diturunkan atau ditetapkan harga siling untuk membantu lebih ramai masyarakat melakukan ujian tersebut.

Tiada ulasan: