Sabtu, 9 Januari 2021

Bomba selamatkan dua pekerja balak terperangkap seminggu

  • Oleh NIK NUR IZZATUL HAZWANI NIK ADNAN
DUA pekerja syarikat pembalakan di kawasan Hutan Cherul 
di Kemaman diselamatkan pihak bomba selepas terperangkap 
kira-kira seminggu berikutan jalan keluar yang dinaiki air.

KEMAMAN: Dua pekerja syarikat pembalakan di kawasan Hutan Cherul di sini terperangkap kira-kira seminggu selepas jalan keluar dari hutan itu dinaiki air.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Cheneh Baru, Mohamad Hanif Che Khalid berkata, mangsa yang merupakan lelaki tempatan berusia dalam lingkungan 30-an di samping wanita warga Indonesia berumur 46 tahun itu berjaya diselamatkan kira-kira pukul 3.17 petang ini.

Katanya, kedua-dua mangsa yang terperangkap di rumah kongsi itu dibawa keluar dengan menaiki bot.

“Kita mendapat maklumat mengenai mangsa selepas laporan dibuat salah seorang rakan sekerja mereka yang berjaya keluar dari kawasan itu.

“Laluan keluar dari kawasan itu tidak dapat dilalui kerana ditenggelami banjir, jadi lelaki berkenaan menghubungi bomba untuk meminta bantuan menyelamatkan rakan-rakannya,” katanya di sini.

Mohamad Hanif berkata, bomba berdepan halangan termasuk arus sungai yang kuat dan deras di samping rangkaian talian telefon yang terhad ketika operasi menyelamatkan mangsa.

“Kita mengambil masa selama 40 minit meredah banjir sejauh 15 kilometer melalui Sungai Cherul dan kawasan ladang untuk tiba ke lokasi mangsa terperangkap,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: