MUAR: Suami kepada seorang pemilik kedai makan dilaporkan cuba menyimbah air panas bercampur minyak pada anggota penguat kuasa Majlis Perbandaran Muar (MPM) di Jalan Omar, Parit Jawa, kelmarin.
Lelaki itu dikatakan berang dengan pemeriksaan anggota penguat kuasa ke atas kedai makan isterinya bersabit SOP perintah kawalan pergerakan (PKP).
Yang Dipertua MPM Mustaffa Kamal Shamsudin berkata, dalam kejadian kira-kira 9.30 malam, anggota penguat kuasa mendapati pemilik kedai makan terbabit melanggar peraturan ditetapkan.
“Ketika anggota penguat kuasa berada di bahagian dapur, lelaki berusia 40-an terbabit didakwa berang lalu menyimbah air panas bercampur minyak dari kuali pada anggota penguatkuasa terbabit, namun berjaya dielak,” kata beliau kepada Berita Harian.
Pemilik premis itu kemudian dikenakan kompaun RM1,000 berikutan gagal mematuhi SOP mengikut Seksyen 72(1)(F) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit kerana membenarkan pelanggan makan di premis,” katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata, lelaki itu didakwa tidak berpuas hati lalu menunggang motosikal untuk mengekori kenderaan peronda penguat kuasa MPM hingga ke stesen minyak, sebelum menghamburkan kata-kata kesat terhadap mereka.
“Susulan itu, anggota penguat kuasa MPM membuat laporan polis terhadap individu berkenaan kerana didakwa menghalang tugas penjawat awam dan berlaku cubaan mendatangkan kecederaan kepada anggota penguat kuasa,” katanya.
Beliau menasihati orang awam atau peniaga supaya tidak bertindak agresif ke atas penjawat awam yang sedang menjalankan tugas.
“Kerjasama padu daripada semua pihak amat penting dalam usaha untuk memutuskan rantaian jangkitan Covid-19 dengan mematuhi SOP,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan