Ahad, 3 Januari 2021

Banjir Johor catat 6,000 mangsa, 7 daerah terjejas

JOHOR BAHRU: Mangsa banjir di negeri ini meningkat mendadak kepada 5,818 mangsa membabitkan 1,540 keluarga dengan 56 pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di tujuh daerah, setakat jam 7.30 pagi ini.

Ia berbanding hanya seramai 1,780 mangsa daripada 500 keluarga dengan 28 PPS dibuka di lima daerah, malam tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R Vidyananthan, berkata tujuh daerah paling terjejas ialah Kluang, Kota Tinggi, Johor Bahru diikuti Kulai, Batu Pahat, Mersing dan Pontian.

Beliau berkata, peningkatan paling ketara berlaku di Kluang apabila mencatatkan peningkatan PPS kepada 19 berbanding hanya 12, malam tadi.

Katanya, mangsa banjir di Kluang meningkat kepada 1,826 orang daripada 545 keluarga pagi ini berbanding 698 orang daripada 206 keluarga, malam tadi.

"Mangsa banjir di Kota Tinggi turut melonjak kepada 868 orang daripada 221 keluarga di 14 PPS, pagi ini berbanding hanya 286 orang daripada 66 keluarga di tujuh PPS, malam tadi.

Dua buah lori dan rumah di Kampung Sepakat Baru hampir tenggelami air akibat banjir yang melanda di kampung tersebut semalam. - Foto BERNAMA
Dua buah lori dan rumah di Kampung Sepakat Baru hampir 
tenggelami air akibat banjir yang melanda di kampung 
tersebut semalam. - Foto BERNAMA

"Johor Bahru juga melonjak dengan seramai 2,452 orang daripada 593 keluarga di 13 PPS, berbanding hanya 690 daripada 189 keluarga ditempatkan di enam PPS, malam tadi.

"Begitu juga Kulai meningkat kepada 581 mangsa daripada 156 keluarga di lima PPS pagi ini berbanding hanya seramai 99 mangsa banjir membabitkan 25 keluarga di dua PPS, malam tadi.

"Batu Pahat juga menokok kepada 28 mangsa banjir daripada 10 keluarga di dua PPS pagi ini, berbanding hanya tujuh mangsa banjir daripada empat keluarga ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Bulan, Yong Peng, malam tadi," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Hujan lebat tanpa henti sejak awal pagi kelmarin itu menyebabkan beberapa kawasan rendah ditenggelami air banjir berikutan sungai utama yang melimpah.

Paling teruk terjejas adalah di kawasan Skudai, di sini, apabila lebih 200 rumah di Kampung Jaya Sepakat dan Kampung Laut tenggelam sehingga ke bumbung berikutan limpahan air Sungai Skudai, sejak Jumaat lalu.

Keadaan Kampung Laut di Batu 10 Skudai dari atas yang diambil di parkir kereta Tingkat 4, Skudai Parade, semalam. - Foto BERNAMA
Keadaan Kampung Laut di Batu 10 Skudai dari atas yang 
diambil di parkir kereta Tingkat 4, Skudai Parade, semalam. 
- Foto BERNAMA

Banjir yang masuk hari ketiga hari ini turut mengorbankan nyawa seorang warga emas wanita, Halijah Majid,59, dari Kampung Contoh di Pekan Kahang, petang semalam, yang lemas selepas tergelincir ke dalam longkang besar di hadapan rumahnya ketika cuba keluar untuk ke PPS.

Mengulas lanjut, Vidyananthan berkata, dua daerah terbaharu terjejas banjir di Johor adalah Mersing dan Pontian.

Katanya, Mersing memindahkan 57 mangsa banjir daripada 14 keluarga di dua PPS manakala Pontian memindahkan enam sekeluarga di PPS Dewan Masjid Kampung Ulu Pulai, sejak lewat malam tadi.

Beliau berkata, rakyat Johor diminta terus berwaspada berikutan Jabatan Metereologi Malaysia masih mengeluarkan amaran cuaca buruk berwarna jingga dengan hujan lebat dijangka berterusan di kawasan Johor Bahru; Kota Tinggi; Kluang; Kulai; Pontian; Mersing; Batu Pahat dan Segamat.

"Paras beberapa sungai di Tanjung Sedili, Kota Tinggi, Johor Bahru dan Kukup di Pontian juga dijangka meningkat jika hujan berterusan ditambah waktu air pasang tengah hari nanti," katanya.

Penduduk Kampung Sepakat Baru, Johor Bahru, mengharungi banjir yang melanda kampung mereka. - Foto BERNAMA
Penduduk Kampung Sepakat Baru, Johor Bahru, mengharungi 
banjir yang melanda kampung mereka. - Foto BERNAMA

Tiada ulasan: