KUALA KRAI: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) Mohd Faqif Mat Using, yang hilang di kawasan air terjun Kampung Lata Golok, Chenulang, di sini, Jumaat lalu, berdepan kesukaran berikutan keadaan aliran sungai yang sangat deras.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Krai, Penolong Penguasa Bomba Muhammad Rizwan Ar-Rafee Parsimin berkata, operasi SAR yang disambung pagi tadi masih belum menemui mangsa berusia 27 tahun yang hilang itu.
Katanya, usaha pencarian hari ini membabitkan seramai 48 anggota termasuk anggota dari BBP Sungai Durian dan BBP Kuala Krai yang turut dibantu oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), orang awam serta dua anjing pengesan dari Unit K9 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
"Operasi SAR yang memasuki hari kedua diperluaskan sehingga lima kilometer di sepanjang sungai dari lokasi pakaian mangsa yang ditemui di jalan trek sepanjang sungai, namun tidak ada sebarang kesan yang dijumpai.
"Keadaan air sungai yang deras juga menyukarkan unit K9 untuk menghantar anjing ke seberang sungai dan operasi ditangguhkan pada jam 5 petang tadi berikutan hujan lebat," katanya ketika dihubungi, di sini.
Beliau berkata, selepas operasi ditamatkan petang tadi, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam yang memaklumkan ternampak objek seperti manusia yang di bawa arus di Sungai Kuala Pertang.
"Disebabkan arus yang terlalu deras, mereka tidak berjaya menarik objek yang dilihat itu ke tebing sungai dan dihanyutkan arus.
"Bagaimanapun, saya sudah mengarahkan lima hingga lapan anggota dari BBP Sungai Durian untuk membuat pemantauan 24 jam pada malam ini di jambatan besar Sungai Nal.
"Operasi SAR akan terus disambung pada pagi esok bagi menjejaki objek yang dilihat itu," katanya.
Media sebelum ini melaporkan mangsa dilaporkan hilang ketika keluar dari rumah selepas pergi ke air terjun berkenaan.
Difahamkan, motosikal, selipar dan pakaian milik lelaki terbabit dijumpai di sekitar lokasi mangsa dilaporkan hilang.
Keluarganya turut membuat pencarian di sekitar kawasan berkenaan, namun tidak menjumpainya sebelum membuat laporan di balai polis pada jam 8 malam Ahad lalu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan