Rabu, 6 Januari 2021

Amaran banjir di Kuala Krai, Gua Musang, Tanah Merah

banjirkelate
Paras air di Tambatan Diraja, Kota Bharu sehingga jam 1 tengah hari ini sudah melepasi paras berjaga-jaga.

KUALA LUMPUR – Susulan amaran cuaca buruk oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) semalam, beberapa agensi berkaitan meramalkan banjir dijangka berlaku di tiga daerah di Kelantan mulai tengah hari hingga tengah malam ini.

Antara daerah diramalkan berlaku banjir dan penduduk perlu mengambil langkah berjaga-jaga ialah Kuala Krai, Gua Musang dan Tanah Merah.

Menurut laporan itu, mulai jam 12 tengah hari dan 4 petang ini, kawasan dijangka dinaiki air di daerah Kuala Krai ialah Sungai Galas, pekan Dabong, Pengkalan Bot Kampung Bahagia dan kawasan sekitar.

Diikuti Sungai Nal, Sungai Durian, Sungai Pahi, Kampung Bedal, Kampung Bukit Sireh, Taman Warisan, Kampung Kuala Pertang, Kampung Ngagoh, Kampung Pahi, Kampung Aur Duri, Kampung Guchil, Kampung Jirat, Kampung Gatal, Kampung Bukit Mengkebang, Kampung Keroh dan Kampung Batu Jong.

Daerah Gua Musang pula melibatkan Sungai Galas, Kampung Limau Kasturi dan kawasan sekitarnya.

Di Tanah Merah, banjir dijangka berlaku esok sekitar jam 12 tengah malam melibatkan Sungai Kelantan, Bandar Tanah Merah, Kampung Cekok Ipoh, Kampung Belimbing, Kampung Panjang, Kampung Keralla, Kampung Kursial Bharu, Kampung Jerangau, Kampung Kulim dan Kampung Terasil.

Semua penduduk terutamanya di kawasan itu diminta berwaspada dan mengambil langkah berjaga-jaga.

Untuk sebarang maklumat orang ramai boleh layari laman web publicinfobanjir.water.gov.my bagi bacaan aras semasa sungai dan hujan.

Sementara itu, laporan paras air Sungai Kelantan dan Sungai Golok sehingga jam 1 tengah hari ini menunjukkan tujuh tempat menyukar banjir telah melebihi paras bahaya.

Lokasi itu ialah Sungai Galas di Dabong di paras 39.26 meter berbanding paras bahaya 38 meter, Sungai Lebir di Tualang 35.71 meter (bahaya 35 meter), Sungai Kelantan di Tangga Krai 27.79 meter (bahaya 25 meter).

Sungai Kelantan di Jambatan Guillemard 16.80 meter (bahaya 16 meter), Sungai Golok di Jenob 25.64 meter (bahaya 23.50 meter), Sungai Golok di Rantau Panjang 10.74 meter (bahaya 9 meter), dan Sungai Golok di Kuala Jambu 3.30 meter (bahaya 3 meter).

Dua tempat menyukat banjir lagi di paras berjaga iaitu Sungai Kelantan di Tambatan Diraja 3.95 meter (bahaya 5 meter) dan Sungai Semerak di Pasir Putih pada paras normal 1.54 meter (bahaya 3 meter). – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: