Rabu, 1 April 2020

SPRM Siasat Syed Saddiq Berhubung Pemilikan Wang Meragukan


KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini mengesahkan menerima laporan berhubung kes pemilikan sejumlah wang yang meragukan melibatkan bekas menteri belia dan sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

SPRM melalui satu kenyataan media sebentar tadi berkata telah menerima aduan berhubung kes tersebut.

“Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menerima aduan berhubung pemilikan sejumlah besar wang tunai yang meragukan dipercayai milik seorang bekas menteri seperti dilaporkan oleh media semalam.

“Berdasarkan aduan itu, Suruhanjaya ini telah membuka satu Kertas Siasatan bagi menjalankan siasatan terhadap aduan tersebut di bawah Akta SPRM 2009,” memetik kenyataan tersebut.

Media semalam melaporkan berhubung laporan polis yang dibuat oleh Syed Saddiq tentang kehilangan wang tunai melebihi RM250,000 yang disimpan dalam peti besi di kediamannya dekat Petaling Jaya.
Kehilangan wang itu disedari oleh Ahli Parlimen Muar itu kira-kira jam 7 malam Ahad ketika memeriksa peti besi simpanan berkenaan.

Difahamkan, peti besi simpanan yang terletak dalam bilik mangsa di tingkat atas banglo dua tingkat itu tanpa ada sebarang kes pecah masuk.

“Mangsa kali terakhir memeriksa wang dalam peti besi simpanan berkenaan kira-kira dua minggu lalu dan mangsa juga kerap meninggalkan kediamannya atas urusan kerja.

“Mangsa juga memaklumkan wang berkenaan adalah wang milik parti politik,” kata sumber tersebut.

Susulan kejadian itu, siasatan polis membawa kepada penahanan seorang wanita warga Indonesia yang juga pembantu rumah di kediaman mangsa, semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal ketika dihubungi BH, hari ini mengesahkan pihaknya ada menerima laporan daripada mangsa berhubung kejadian itu.

“Siasatan sedang dijalankan dan buat masa ini saya tidak boleh mendedahkan sebarang maklumat kerana tidak mahu mengganggu siasatan,” katanya.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan iaitu mencuri. – SuaraTV

Tiada ulasan: