Khamis, 2 April 2020

Saravanan cabar identiti nasional?

siti hafidah

 

Guna bahasa Tamil dalam ucapan ulang tahun kepada RTM


BANGI – Tindakan Kementerian Sumber Manusia memuat naik poster rasmi menggunakan ucapan bahasa Tamil di media sosial membuktikan ada unsur anti identiti nasional.

Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru), Ustaz Mohd Azizee Hasan menegaskan bahawa iklan sebegitu tidak wajar dalam sebuah kerajaan Melayu Islam, sekaligus dilihat mencabar kedaulatan bahasa Melayu.

Jelas beliau, Perkara 152 memperuntukkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, namun tidak menghalang bahasa lain digunakan, dipelajari dan dikembangkan.

“Menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan bermaksud semua urusan rasmi mesti menggunakan bahasa kebangsaan dan mempertahankannya bermaksud mempertahankan Perlembagaan yang termasuk dalam intipati rukun negara iaitu ‘ Keluhuran Perlembagaan’.

“Pada masa sama memperakui Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1967 yang menjamin kedaulatan Bahasa Kebangsaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu tular poster Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan memberikan ucapan ulang tahun ke-74 kepada Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Selain teks bahasa Melayu, poster yang menggunakan logo Kementerian Sumber Manusia itu juga mengandungi ucapan bahasa Tamil dinyatakan daripada pemimpin MIC itu.


Tiada ulasan: