Selasa, 14 April 2020

Siasat walaupun berita palsu dipadam, Ismail beri amaran



Menteri Pertahanan, Ismail Sabri Yaakob. (Gambar Bernama)
 
PETALING JAYA: Menteri Pertahanan, Ismail Sabri Yaakob memberi peringatan polis tetap akan mengambil tindakan walaupun berita palsu yang dimuat naik telah dipadamkan.

Beliau berkata tindakan itu diambil bagi menyekat berita palsu terus berleluasa.

“Saya juga ingin memberi peringatan, selepas posting dikeluarkan, walaupun memadamkannya, polis masih boleh terus melakukan siasatan dan ambil tindakan undang-undang untuk menghadapkan mereka ke mahkamah dan sebagainya.

“Kita dengar baru-baru ini ada seorang individu yang keluarkan berita palsu selepas itu memadamkan dan meminta maaf. Tetapi saya difahamkan polis juga memanggil individu itu untuk disoal siasat,” katanya pada sidang media harian.

Ismail berkata polis akan teruskan tindakan kepada sesiapa sahaja tidak kira melalui media sosial, portal media dan sebagainya.

“Jika perkara ini berlaku, pihak polis tidak akan berkompromi,” katanya.

Ismail berkata setakat ini polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) membuka sebanyak 217 kertas siasatan berhubung penyebaran berita palsu Covid-19.

“Sebanyak 162 masih dalam siasatan, manakala 23 sudah dituduh di mahkamah dengan 4 mengaku salah,” katanya

Tiada ulasan: