Ahad, 19 April 2020

Perkhidmatan penghantaran ubat untuk warga UUM

Noorazura Abdul Rahman
 
DR Adi Azhar. FOTO ihsan UUM
 

UNIVERSITI Utara Malaysia (UUM) menerusi Pusat Kesihatan Universiti (PKU) mengambil inisiatif mewujudkan sistem penghantaran ubat bagi memudahkan warga universiti berkenaan mengambil ubat tanpa perlu ke kampus ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pengarah PKU, Dr Adi Azhar Abdul Razak berkata, sistem penghantaran yang dinamakan Medicine2U itu akan memberi manfaat kepada kakitangan yang tinggal lebih 10 kilometer dari kampus manakala kakitangan yang tinggal berdekatan perlu datang sendiri ke PKU.

Katanya, penghantaran ubat oleh PKU itu adalah ubat susulan atau ‘Continue Medication’ saja.

“Kakitangan, tanggungan kakitangan atau pesara tidak dibenarkan meminta ubat baru dan mereka diminta untuk mendapatkan rawatan di klinik-klinik berdekatan sekiranya perlu.

“Selain itu, ubat yang memerlukan penyampaian khas ‘ubat sensitif suhu’ atau ubat kegunaan semasa keadaan akut ‘Acute Condition’ juga tidak dibenarkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Adi Azhar berkata, bagi pengambilan ubat menerusi Medicine2U, doktor perubatan bertugas akan menyemak sejarah pengambilan ubat yang terbaru untuk dipreskrip semula selama satu bulan.

Katanya, Unit Farmasi akan menyediakan ubat berdasarkan preskripsi doktor perubatan.

“Kemudian, pemandu dari PKU akan menghantar ubat-ubat yang dibungkus mengikut nama pesakit ke pondok pengawal Taman Siswa di Jitra pada keesokannya.

“Mereka yang layak boleh mengambil ubat berkenaan di pondok pengawal Taman Siswa,” katanya.

Dr Adi Azhar berkata, kakitangan dan pesara yang ingin mendapatkan perkhidmatan Medicine2U diminta untuk menghubungi kaunter rawatan (2525) untuk pendaftaran terlebih dulu.

Tiada ulasan: