Ahad, 19 April 2020

KKM berjaya halang ‘Kluster Pulang Dari Luar Negara’

Norlaile Abd Rahman
MGF17042020_SARINGAN-COVID-KG-BARU09
KKM) melaporkan terdapat 17 orang rakyat Malaysia yang baru pulang dari luar negara disahkan positif Covid-19. Gambar hiasan
 

KUALA LUMPUR- Arahan kuarantin wajib yang dikeluarkan kerajaan kepada semua rakyat Malaysia yang baru pulang dari luar negara berjaya mengelakan pandemik itu terus merebak di negara ini.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan terdapat 17 orang rakyat Malaysia yang baru pulang dari luar negara disahkan positif Covid-19.

“Terdapat penurunan dalam trend kes positif Covid-19 dan ini jelas menunjukkan tindakan kerajaan memperkenalkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) adalah tepat.

“Satu lagi tindakan tepat kerajaan adalah dengan mengenakan arahan wajib kuarantin kepada rakyat yang baru pulang dari luar negara.

“Bayangkan, jika 17 yang positif Covid-19 ini hanya dikuarantin di rumah pastinya dia akan menjangkiti ahli keluarga yang lain pula atau jika mereka ke pasaraya-pasaraya,pasti kita ada Kluster Baru Pulang Dari Luar Negara pula.

“Kita tau ramai yang tidak senang dengan arahan kuarantin wajib tersebut tetapi jika tidak dilakukan, ianya akan menyebabkan jangkitan merebak dengan lebih cepat,” katanya semasa sidang media hari ini.

Dalam pada itu, Ismail Sabri turut mengumumkan penjara sementara bagi tahanan ingkar PKP akan mula beroperasi 23 April ini.

Kementerian Dalam Negeri katanya telah mewartakan 11 penjara sementara itu setelah mendapat nasihat Pejabat Peguam Negara.

Kementerian Kesihatan Malaysia pula akan menyediakan petugas kesihatan di penjara-penjara berkenaan.-MalaysiaGazette

Tiada ulasan: