Khamis, 9 April 2020

Insya-Allah kita akan tolong mereka - Annuar

MALAYSIAKINI

Malaysiakini


Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa berkata akan membekalkan 1,950 bungkus makanan dua kali sehari buat mereka yang terkesan dengan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) di Selangor Mansion dan Malayan Mansion, yang terletak di Jalan Masjid India di Kuala Lumpur.

"Insya-Allah kita akan tolong mereka, 1,950 bungkus, dua kali sehari," ciapnya di Twitter, ketika menjawab soalan apa yang akan berlaku kepada penduduk warga asing di sana, jika mereka tidak mendapat makanan daripada kedutaan negara mereka.

Menurut Annuar, makanan sudah mula diagihkan malam tadi.
Semalam, Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob sekali lagi berkata pihak kedutaan perlu menyediakan keperluan buat warga mereka yang berada di Malaysia, yang terjejas dengan PKP.

Selangor Mansion dan Malayan Mansion, yang dihuni kira-kira 5,000 hingga 6,000 orang, dikenakan PKPD sejak Selasa lalu. Ismail berkata 97 daripada penduduk merupakan warga asing.

Malaysiakini telah menghubungi Annuar untuk bertanya sama ada jumlah bantuan kepada penduduk di sana akan ditambah.

Semalam, Datuk Bandar Kuala Lumpur Nor Hisham Dahlan berkata makanan akan dibekalkan kepada penduduk di kedua-dua bangunan itu.

Tidak jelas sama ada agihan makanan yang dirujuk Annuar adalah dengan kerjasama DBKL.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Mohamad juga berkata bantuan akan diberikan kepada mereka yang terjejas di dua bangunan itu.
"Kawasan ini ada dalam senarai kami. Insya-Allah bantuan akan sampai secepat mungkin," ciapnya semalam.

Semalam beliau juga mengagihkan makanan kepada mereka yang terjejas dengan PKPD di kondominium Menara City One.

Beliau berkata, agensi di bawah kementeriannya memberi bantuan seboleh mungkin kepada pekerja asing, antaranya dengan mengagihkan makanan dan barangan keperlua lain, sejak bermulanya PKP.

Tiada ulasan: