SERAMAI 33 individu termasuk dua remaja dihadapkan ke Mahkamah Majistret Langkawi hari ini, atas pertuduhan melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Seramai 21 tertuduh mengaku bersalah, manakala 10 lagi mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Mohd Ridzwan Salleh.
Mengikut pertuduhan, semua tertuduh berusia antara 18 hingga 44 tahun didakwa melanggar arahan PKP apabila ditahan sekitar pulau ini antara 26 hingga 29 Mac lalu.
Mereka didakwa mengikut Peraturan 7(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Lim Siok Hui.
Mohd Ridzwan kemudian menjatuhkan hukuman penjara 14 hari dan denda antara RM800 hingga RM1,000 ke atas 21 tertuduh dan jika gagal membayar denda, mereka dihukum penjara sebulan.
Seramai dua remaja pula dibenarkan diikat jamin RM1,500 setiap seorang sementara menunggu laporan akhlak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Seramai 10 tertuduh yang mengaku tidak bersalah dibenarkan diikat jamin RM1,500 hingga RM6,000 setiap seorang.
Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 9 dan 28 Jun ini.
Difahamkan, sehingga jam 12 tengah hari tadi, seramai 88 individu sudah ditahan polis sekitar Langkawi atas kesalahan melanggar PKP.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan