Isnin, 13 April 2020

Kedai gunting rambut, dobi bukan keperluan mendesak

ainulillia

 

PKP mesti dikuatkuasa hingga capai unjuran kes agak stabil

BANGI – Keputusan untuk membuka semula beberapa sektor tambahan perlu dipertimbangkan semula sesuai dengan seruan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan reaksi orang ramai.

Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, operasi perniagaan seperti kedai gunting rambut dan dobi sebaiknya perlulah ditangguhkan kerana ia bukan keperluan mendesak. 
Malah, penganjuran Bazar Ramadan juga tidak seharusnya diberikan kelonggaran, tegasnya.

“Reaksi orang ramai terhadap pembukaan perkhidmatan ‘non-essentials’ ini jelas tidak bersetuju. 
“Malah kebanyakan pemain sektor tersebut juga telah menyuarakan kebimbangan mereka untuk beroperasi dalam keadaan pandemik sebegini,” katanya.

Beliau berkata, pelaksanaan PKP mesti dikuatkuasakan dengan tegas sehingga Malaysia berjaya mencapai unjuran kes COVID-19 yang agak stabil.

Tegasnya, keutamaan kerajaan adalah untuk memastikan kepentingan kesihatan umum tidak dikompromi dalam apa jua keadaan.

“Setiap dari kita harus memainkan peranan dalam menyumbang kepada survival komuniti kita. Tiada yang lebih penting dari memelihara nyawa dan keselamatan umum.

“Insya-Allah, sebaik sahaja pandemik ini berakhir, kita boleh bergaya semahunya dengan apa jua penampilan, berhari raya sepuasnya, menganjurkan pelbagai bazar dan bukan sekadar Bazar Ramadan dan melakukan ziarah-menziarahi saudara-mara dan rakan taulan selayaknya.

“Sehingga saat itu tiba, tugas semua kita ialah memutuskan rangkaian pandemik ini dan mengurangkan jangkitan. Duduklah rumah, jaga kebersihan dan amalkan penjarakkan fizikal,” katanya.

Sebelum ini, kerajaan mengumumkan 9 sektor ekonomi tambahan dibenarkan beroperasi di bawah syarat ketat ketika PKP yang dilanjutkan 2 minggu lagi sehingga 28 April ini.

Sektor itu termasuk kedai perkakasan, barangan elektrik dan elektronik, cermin mata, industri mesin dan peralatan, aeroangkasa serta industri automotif (terhad kepada eksport unit siap pasang sepenuhnya – CBU, peralatan dan komponen, serta perkhidmatan selepas jualan contohnya penyelenggaraan).

Salun dan kedai gunting rambut hanya boleh menawarkan perkhidmatan menggunting rambut, dan hanya kedai dobi perkhidmatan penuh boleh beroperasi, bukannya kedai dobi layan diri.

Bagaimanapun, operasi kebenaran kepada kedai gunting rambut telah mencetuskan bantahan ramai pihak yang bimbang akan berlakunya penyebaran lebih pantas jika sektor itu dibuka.

Tiada ulasan: