Selasa, 14 April 2020

COVID-19: PKP bukan penghalang pasangan suami isteri mencari rezeki

Oleh Baharom Bakar
 
Mohd Isa dan Zawati sedang menyusun tempahan untuk dihantar kepada pelanggannya di kediamannya di Taman Desa MBKT. - NSTP/Baharom Bakar
Mohd Isa dan Zawati sedang menyusun tempahan untuk dihantar kepada pelanggannya di kediamannya di Taman Desa MBKT. - NSTP/Baharom Bakar


KUALA TERENGGANU: Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan wabak COVID-19, tidak menghalang pasangan suami isteri untuk terus mencari rezeki.

Mohd Isa Che Arifin, 42, yang memiliki premis perniagaan mencetak kemeja-T dan cederamata di pusat bandaraya beralih bidang perniagaan dengan menjual keropok keping melalui dalam talian sejak awal bulan lalu.

Beliau yang dibantu isterinya, Zawati Sembok, 42, setiap hari tidak menang tangan memenuhi permintaan pelanggan.

Setiap hari, Mohd Isa dan Zawati membungkus keropok keping antara 100 hingga 200 kilogram yang ditempah pelanggan dan bekalan diperolehi daripada pengusaha makanan ringan.

“Pengalaman 20 tahun menjual kemeja-T dan beg tangan, digunakan sepenuhnya untuk menceburi bidang penjualan keropok keping melalui dalam talian.

“Walaupun masih baharu menceburi bidang jualan keropok keping ini, sambutan masyarakat menyuntik semangat saya dan isteri untuk terus mengembangkan perniagaan ini,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Desa Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), di Chendering, di sini, hari ini.

Mohd Isa berkata, minatnya untuk beralih bidang perniagaan tercetus selepas tempahan mencetak kemeja-T kurang, berikutan larangan PKP.

“Saya mengambil keputusan menangguhkan sementara bidang pencetakan atas dasar menyokong saranan Kementerian Kesihatan (KKM), bagi memerangi penularan wabak COVID-19, ” katanya.
Selain menjual keropok keping dan segera, beliau turut menjual sos.

“Saya dan isteri hanya mengambil masa lima jam sehari untuk melakukan proses membungkus dan menghantar pesanan kepada pelanggan yang membuat tempahan melalui pesanan Facebook (FB), kemudian menggunakan perkhidmatan pos laju untuk penghantaran.

“Kebanyakan pelanggan adalah dari Pulau Pinang, Kuala Lumpur, Kedah dan Perak serta Johor Baharu,” katanya.

Mohd Isa mengakui, pendapatan hasil jualan keropok keping melalui dalam talian cukup lumayan, sekali gus bercadang memperluaskan bidang perniagaan menjual keropok lekor sejuk beku selain ketupat palas sejuk beku menggunakan kaedah sama

Tiada ulasan: