Sabtu, 11 April 2020

'Jika boleh jangan buka'

Oleh Ilah Hafiz Aziz
 
 Foto hiasan
Foto hiasan
KUALA LUMPUR: Beberapa persatuan pendandan rambut meminta ahli mereka tidak membuka premis masing-masing meskipun kerajaan membenarkan perkhidmatan itu beroperasi ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Presiden Persatuan Pengusaha Jurugaya Rambut India Malaysia (MINDAS), Dr V Magendran, berkata langkah dilakukan kerajaan semalam adalah baik untuk membantu pengusaha dan pekerja yang terjejas tetapi perkara yang perlu diutamakan adalah keselamatan dan kesihatan semua pihak.

“Ia sangat bagus untuk mereka yang mempunyai masalah kewangan tetapi secara keseluruhan, kami berpendapat perkhidmatan ini perlu tunggu sehingga PKP berakhir.

“Isu berkaitan keselamatan dan kesihatan perlu diutamakan kerana kami tidak mahu ahli dijangkiti COVID-19 dan premis menjadi pusat penularan wabak.

“Saya minta semua pengusaha tunggu dan bersabar sehingga keadaan benar-benar pulih kerana ketika ini kes yang dijangkiti semakin banyak termasuklah kematian setiap hari. Lagi pun kita tidak mahu menjadi penyumbang tekanan kepada ‘frontliner’,” katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Ditanya sama ada terdapat permintaan daripada mana-mana pihak supaya perkhidmatan itu beroperasi, Magendran mengakui ramai pengusaha yang terjejas pendapatan khususnya bebanan sewa setelah PKP dilaksanakan lebih tiga minggu lalu.

“Ada pengusaha yang memiliki dua tiga premis terbeban dengan sewa kedai dan persatuan juga mempunyai kekangan untuk membantu namun kita cuba,” katanya.

MINDAS mempunyai 750 ahli di seluruh negara.

Presiden Persatuan Jurugaya Rambut India Selangor dan Wilayah, M Ganathiban yang turut menyokong kenyataan Magendran, berkata tukang gunting amat berisiko dijangkiti COVID-19.

“Seorang tukang gunting tidak boleh melakukan penjarakan sosial ketika berurusan dengan pelanggan. Bagaimana kami mahu menggunting rambut jika perlu berjarak sejauh satu meter... adakah tangan kami sampai?

“Malah untuk proses menggunting pula mengambil masa sekurang-kurang 15 minit seorang, lebih masa diperlukan untuk mendandan rambut. Ada yang kata hanya gunting sahaja bukan mencukur tapi saya sendiri tidak tahu bagaimana ia boleh dilakukan,” katanya.

Ganathiban berkata, tempoh PKP bukan waktu yang sesuai untuk perkhidmatan itu beroperasi kerana keselamatan nyawa semua pihak lebih penting.

“Jika yang berpendapat hanya zon hijau boleh membuka kedai, bagaimana kita mahu tahu atau halang penduduk di zon merah datang ke kedai kita. Ingat, wang boleh dicari tetapi nyawa hanya sekali,” katanya.

Tiada ulasan: