Sabtu, 11 April 2020

Jadi 'runner' dengan caj seikhlas hati

Rosyahaida Abdullah
 
MUHAMMAD Akmal menjadi ‘runner’ dengan caj seikhlas hati. FOTO ihsan Muhammad Akmal Syukri Fadilah
 

“DARI segi wang ringgit mungkin saya tidak mampu namun insya-Allah dengan tenaga yang ada, saya harap dapat menyumbang sesuatu kepada mereka yang memerlukan,” kata Muhammad Akmal Syukri Fadilah, 23.

Muhammad Akmal tular di media sosial selepas kakitangan swasta ini menerusi laman Twitternya mempromosikan perkhidmatan ‘runner’ buat sesiapa yang memerlukan di sekitar Shah Alam, Selangor, sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan caj seikhlas hati.

Mengakui tidak mampu menyumbang wang ringgit, Muhammad Akmal bagaimanapun berhasrat membantu menerusi perkhidmatan yang disediakan baik untuk pembelian barangan keperluan mahupun menjadi penghantar.

Muhammad Akmal berkata, inisiatif itu bermula hampir seminggu lalu selepas dia membantu rakan serumahnya membeli barangan keperluan sempena PKP.

“Memandangkan saya melakukan kerja sambilan sebagai penghantar makanan, saya mempunyai kotak besar pada motosikal saya yang boleh memuatkan banyak barang di dalamnya.

“Ketika itu, saya terfikir untuk sediakan servis ini apa lagi harga minyak (petrol) pun tengah murah dan rakan saya turut cadangkan supaya saya jadi ‘runner’ sambilan bagi pembelian barangan dapur untuk mereka yang mungkin ada kekangan pengangkutan.

“Disebabkan saya juga biasa ke pasar bersama nenek pada waktu kecil dulu, agak mudah untuk saya kenali barang basah yang masih baru atau sebaliknya, jadi saya fikir mungkin saya boleh manfaatkan apa yang saya tahu untuk orang lain.

“Apa lagi saya juga tidak perlu ke tempat kerja secara kerap sepanjang tempoh PKP ini, lebih baik saya manfaatkan waktu terluang untuk lakukan sesuatu yang baik untuk sesiapa saja termasuk diri sendiri,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Muhammad Akmal berkata, hasrat itu dimulakan dengan membantu seorang dua jiran yang antaranya tidak tahu menggunakan aplikasi telefon bimbit atau ada pengalaman mengecewakan dengan servis menerusi aplikasi terbabit sebelum ini.

Disebabkan servisnya tidak begitu diketahui, Muhammad Akmal mempromosikannya di Twitter yang kemudian diulangkicau lebih 5,000 kali malah turut dikongsi pengguna di laman sosial Facebook.

Menurutnya, dia mengehadkan ‘trip’ setakat 7 malam saja setiap hari kerana tidak mahu terkejar-kejar.

Muhammad Akmal juga mengenakan caj seikhlas hati bertujuan membolehkan sesiapa saja mendapatkan perkhidmatannya selagi kudrat orang muda yang dimiliki mengizinkan.

“Saya terinspirasi dengan lelaki Cina yang cuma mengenakan caj 10 sen untuk pelbagai servis termasuk membantu pengebumian jenazah untuk ahli keluarga Islam yang tidak mampu.

“Melihat keikhlasannya, saya terfikir mengapa tidak saya lakukan perkara sama. Oleh itu, 10 sen pun saya terima sebagai caj untuk servis ini,” katanya.

Muhammad menjelaskan, ada kalanya dia sendiri tidak sampai hati mengambil bayaran selepas melihat keadaan rumah pengguna perkhidmatannya.

Ini kerana katanya, ada juga individu yang menggunakan perkhidmatannya bagi tujuan pemberian bantuan makanan asas kepada isi rumah kurang berkemampuan menyebabkan caj itu disedekah kepada keluarga terbabit.

“Ketika saya diminta menghantar barangan bantuan oleh seorang jurusolek profesional, saya cukup terkesan apabila anak kepada penerima bantuan terbabit terlalu teruja hanya kerana terlihat ada biskut di dalam pek yang saya hantar.

“Saya juga pernah hantar bantuan serupa oleh jurusolek sama kepada seorang warga emas yang tinggal sendirian dan mengalami strok. Semua ini membuatkan saya sebak mengenangkan dugaan dihadapi mereka.

“Ditemukan dengan individu pelbagai golongan, ia juga mengajar saya untuk bersyukur dan sentiasa cuba berbakti kepada orang lain selagi terdaya,” katanya.

Tiada ulasan: